KHIDMAT penghantaran makanan Bungkus by Honestbee.
KHIDMAT penghantaran makanan Bungkus by Honestbee.
Nora Mahpar


HONESTBEE, peneraju perkhidmatan penghantaran makanan di Asia melancarkan Bungkus by honestbee, penghantar makanan pertama yang menerima sijil halal daripada JAKIM.

Pengurus Negara di Malaysia, Afzan Lutfi berkata, pelancaran Bungkus by honestbee ini berikutan timbulnya kebimbangan mengenai garis panduan yang betul berkenaan bagaimana untuk memantau perkhidmatan penghantaran makanan secara keseluruhan.

“Untuk mendapatkan makanan halal daripada restoran halal sangat mudah namun untuk memberikan perkhidmatan halal untuk makanan halal masih tiada dalam pasaran tempatan.

“Kita lihat di mana terdapat risiko apabila penghantar makanan dari restoran tidak memiliki sijil halal dan pada masa sama perlu mengambil makanan daripada restoran tidak halal dan menghantar makanan kepada pelanggan menggunakan beg yang sama.

“Ini adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi industri makanan halal di Malaysia,” katanya pada sidang media sempena pelancaran itu di sini, baru-baru ini.

Penghantaran makanan halal tidak pernah dilaksanakan di Malaysia dan dengan itu, Bungkus by honestbee mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan JAKIM dan HDC menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan halal.

Ia sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna Islam di negara ini ketika membuat tempahan makanan secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Afzan berkata, ketika ini, Bungkus by honestbee dengan slogan Makan Puas Puas Tanpa Was Was memiliki 1,000 penghantar makanan dengan liputan penghantaran hanya sekitar Kuala Lumpur dan Johor.

“Menjelang penghujung tahun ini, kita sasarkan liputan penghantaran makanan itu dapat diperluas ke seluruh negara terutama bandar besar.

“Sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap makanan halal, kami menjangkan kerjasama dengan restoran yang memiliki sijil halal bertambah dari semasa ke semasa berbanding kira-kira 100 restoran halal ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:46 AM