DARI kiri, Vincent, Gary  dan  Gan  melihat  replika projek perumahan pada majlis pratonton media dan pelancaran projek terbaru Platinum ARENA di Jalan Klang Lama. FOTO Zulfadhli Zulkifli
DARI kiri, Vincent, Gary dan Gan melihat replika projek perumahan pada majlis pratonton media dan pelancaran projek terbaru Platinum ARENA di Jalan Klang Lama. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Platinum Victory Holdings Sdn Bhd (Platinum Victory) memperkenalkan projek pembangunan terbaharunya, Platinum ARENA yang terletak di Jalan Klang Lama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM421 juta.

Pengarah Eksekutifnya Gan Yee Hin berkata, projek yang dibangunkan di kawasan seluas 2.9 ekar itu terdiri daripada dua blok bangunan setinggi 36 tingkat membabitkan 728 unit apartment servis.

Beliau berkata, keluasan seunit bagi rumah itu adalah antara 650 hingga 1,008 kaki persegi yang dijual pada harga RM620 untuk setiap kaki persegi.

Selain itu, katanya, projek Platinum ARENA turut menawarkan segmen komersial yang terdiri daripada 36 lot kedai di bahagian blok komersial.

“Kerja pembinaan sudah bermula awal tahun ini dan projek Platinum ARENA ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada majlis previu dan pelancaran projek itu, di sini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Platinum Victory Gary Gan dan Pengurus Kanan, Penjenamaan dan Pemasaran Platinum Victory Vincent Seow.

Gan berkata, strategi bina sebelum jual syarikat itu menjadikan Platinum Victory berbeza dengan amalan biasa dalam pasaran hartanah tempatan.

Katanya, ia sebagai langkah bagi pembeli rumah untuk melihat sendiri produk hartanah dan membantu mereka menyimpan untuk pembiayaan faedah pada tempoh pembinaan.

“Perkara ini disebabkan kebanyakan bakal pembeli rumah mudah untuk membuat pembelian apabila sesuatu projek itu hampir siap.

“Ia meningkatkan keyakinan pembeli dan pelabur bagi projek dibangunkan Platinum Victory,” katanya.

Mengulas mengenai projek Platinum ARENA itu, Gan berkata, projek terbabit terletak di kawasan strategik yang mudah diakses oleh lebuh raya utama.

Antaranya, Jalan Klang Lama, Jalan Puchong, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) serta berhampiran pusat beli-belah popular iaitu Mid Valley Megamall, Suria KLCC, Sunway Pyramid, Plaza OUG, Pearl Shopping Gallery dan Scott Garden.

Lebih menarik lagi, dalam usahanya untuk mewujudkan komuniti aktif, dua blok bangunan Platinum ARENA dinamakan sebaai Armstrong dan Boris, bersempena dengan pelumba basikal Amerika, Lance Armstrong dan bintang sukan tenis Jerman, Boris Becker.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 10:01 AM