James Zou
James Zou
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: HONOR, e-jenama telefon pintar terkemuka dunia melihat Malaysia sebagai salah satu pasaran utama bagi jualan rangkaian telefon pintarnya di rantau Asia.

Presiden Jabatan Perkhidmatan dan Jualan Luar Negara HONOR, James Zou berkata, syarikat itu turut menjadikan golongan milenial sebagai kumpulan sasaran bagi memastikan produk ditawarkan bertepatan kehendak pasaran.

Beliau berkata, langkah dilakukan itu juga adalah bagi memastikan produk keluaran HONOR terus relevan dalam kalangan pengguna selain kemunculan pelbagai jenama telefon pintar lain dalam pasaran.

“Sejak HONOR mula menembusi pasaran Malaysia, prestasi jualan adalah cemerlang, sekali gus mengekalkan negara ini sebagai pasaran utama kepada syarikat.

“Kami begitu memahami permintaan dan kehendak pengguna Malaysia terutama golongan muda yang sentiasa inginkan teknologi terkini dan tercanggih bagi telefon pintar.

“Malah, syarikat juga akan melancarkan produk telefon pintar lebih berinovasi bertepatan dengan apa milenial mahukan seterusnya mengungguli carta jenama telefon pintar paling popular,” katanya dalam satu temu bual bersama media tempatan di sini.

James berkata, trend pemilikan telefon pintar juga semakin berubah apabila ia memerlukan HONOR sebagai pengeluar faham akan perubahan dan kehendak semasa.

Katanya, antaranya termasuklah skrin lebih besar dan prestasi bateri yang tahan lama serta teknologi pengecas pantas bersesuaian gaya hidup masa kini.

“Sebagai pengeluar telefon pintar, kami mahu menjual produk yang mampu milik namun dilengkapi pelbagai kelebihan dan fungsi seperti kecerdasan pintar (AI), fotografi dan juga pelaksanaan teknologi 5G.

“Antara usaha lain dalam menarik golongan muda adalah kerjasama dilakukan antara HONOR dan Fortnite, pengeluar permainan video popular masa kini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mempunyai visi menjadikan telefon pintar HONOR diingati oleh golongan milenial sebagai pilihan bagi pemilikan telefon pintar pertama mereka.

James berkata, HONOR juga perlu berpegang kepada empat prinsip utama supaya jenama telefon pintar itu dapat beroperasi dan menjalankan perniagaan dengan dinamik di peringkat global.

Antaranya memperkukuh rantaian bekalan global, pemasaran dan penjenamaan serta saluran perniagaan yang berperanan menjadikan HONOR lebih berdaya maju.

Pada Januari lalu, HONOR melancarkan model terbarunya, HONOR View20 dengan menawarkan kamera utama resolusi tinggi 48 megapixel (MP) dan dikuasakan dengan pemproses generasi baru 7nm Kirin 980.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 9:50 AM