BERNAMA

PENGELUAR kereta nasional, Proton akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di Pakistan, kilang pertama Proton di kawasan Asia Selatan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim berkata, perjanjian antara Proton dan rakan perniagaan dari Pakistan Alhaj Automotive, dibuat tahun lalu dengan Proton mengunjurkan potensi yang besar untuk syarikat itu.

“Dari segi potensi pasaran kenderaan di Pakistan, Proton rasakan potensinya amat besar. Itulah sebabnya Proton setuju bekerjasama dengan Alhaj automotive untuk membina kilang pemasangan berhampiran Karachi di wilayah Sindh.

“Ia signifikan kerana ini akan menjadi kilang pertama Proton di Asia Selatan berdasarkan jumlah penduduk di negara ini saja sudah 210 juta,” katanya kepada media Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan di Islamabad, hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan, dijangka menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang Proton itu esok.

Dr Mahathir akan mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan selama tiga hari bermula Khamis.

Ikram berkata, pembinaan kilang itu adalah elemen penting dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara memandangkan Proton adalah ilham Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri buat pertama kali dahulu.

Katanya, sewaktu lawatan Dr Mahathir, kedua-dua Perdana Menteri itu juga akan berbincang dengan lebih terperinci mengenai usaha mempertingkat hubungan dagang antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 1:37 PM