Bisnes HM


Suruhanjaya Sekuriti (SC) membenarkan 22 syarikat untuk terus mengendalikan operasi pertukaran aset digital selepas 1 Mac 2019.

SC dalam kenyataan hari ini berkata, susulan pindaan Garis Panduan Untuk Pasaran Yang Diiktiraf dikeluarkan pada 31 Januari 2019, syarikat yang telah menyerahkan permohonan mereka untuk didaftarkan dengan SC sebagai pengendali pertukaran aset digital akan dibenarkan menerusikan operasi bagi satu lagi tempoh peralihan dari 1 Mac 2019, sehingga SC memberi notis berhubung tempoh itu.

“Dalam tempoh peralihan yang mematuhi tempoh peralihan dari 15 Januari hingga 1 Mac 2019, pengendali platform tidak dibenarkan menerima pelabur baharu dan hanya dibenarkan untuk memudahcarakan pengeluaran atau pemindahan aset pelanggan berserta arahan bertulis daripada pelabur.

“Syarikat yang tidak mengemukakan permohonan mereka kepada SC menjelang 1 Mac 2019, diminta mengambil langkah perlu untuk menghentikan perniagaan mereka dan memulangkan aset semua pelanggan menjelang 15 Mac 2019,” katanya.

SC berkata, orang ramai perlu mengambil perhatian bahawa notis ini bukan kelulusan, pemberian kuasa atau perakuan olehnya bagi mana-mana pengendali platform aset digital atau mana-mana aset digital yang diniagakan menerusi platform berkenaan.

Katanya, senarai syarikat yang dibenarkan dan tidak dibenarkan meneruskan operasi akan dikemas kini secara berkala dan orang ramai digalakkan merujuk senarai itu apabila berurusan dengan pertukaran aset digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:03 PM