Bisnes HM


AFFIN Bank (AFFINBANK) Group merekodkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBT) RM675 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, kenaikan 22.6 peratus atau RM124.3 juta berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan bersihnya dalam tempoh dikaji juga meningkat daripada RM424.4 juta pada tahun kewangan 2017 kepada RM527.4 juta.

Prestasi lebih baik itu khususnya disebabkan oleh kenaikan yuran bersih dan pendapatan komisen, pendapatan perbankan Islam, keuntungan bersih instrumen kewangan dan pendapatan lain.

AFFINBANK dalam kenyataannya hari ini berkata, pada 2019 ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.7 peratus, menyamai pertumbuhan pada 2018.

Katanya, industri perbankan dijangka mencatatkan pertumbuhan pinjaman sederhana dengan pendapatan berasaskan yuran dijangka lemah disebabkan pasaran modal yang tidak menentu.

Berikutan itu, ia berkata pertumbuhan aset terpilih akan menjadi fokus bagi bank.

“Kami akan meneruskan laluan pertumbuhan dengan Program Affinity. Di samping itu, penyusunan semula kumpulan yang selesai pada Februari 2018 dijangka mengukuhkan sinergi kumpulan.

“Dengan memanfaatkan infrastruktur kumpulan, kami akan terus mengukuhkan tawaran sedia ada, mempercepat pembangunan penyelesaian perbankan digital dan terus mengukuhkan daya inovatif bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.

AFFINBANK berkata, tumpuan strategiknya bagi 2019 akan kekal bagi segmen perbankan runcit dan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain perbankan transaksi.

Ia juga, katanya akan menumpukan kepada daya lihat jenama, keperluan pematuhan, meningkatkan kualiti aset dan pengurusan kecairan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 8:07 PM