Fauzi (dua dari kiri) melawat gerai jualan My Best Buy di My Farm Outlet, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ihsan FAMA
Fauzi (dua dari kiri) melawat gerai jualan My Best Buy di My Farm Outlet, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ihsan FAMA
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin


PROGRAM jualan terus dari ladang, My Best Buy (MBB) di Terengganu berjaya merekodkan jualan terkumpul RM10.6 juta dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Fauzi Mohamed berkata, jualan itu direkodkan oleh hampir 30 peniaga selepas program itu diadakan sebanyak 126 kali sejak 2017.

Beliau berkata, secara purata, 30 usahawan yang menyertai MBB merekodkan kadar jualan lebih RM20,000 sehari, membabitkan pelbagai produk termasuk hasil tani, hasil laut, makan tradisional, selain produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, untuk tahun ini pihaknya merancang mengadakan MBB setiap bulan di lokasi berbeza sekitar Kuala Terengganu dan beberapa daerah lain, bagi memberi peluang pengguna mendapatkan barangan pada harga rendah berbanding pasaran.

"Pengguna yang membeli-belah di MBB berpeluang mendapatkan potongan harga antara lima hingga 20 peratus bagi setiap barangan yang dibeli, justeru dapat memberi penjimatan kepada perbelanjaan bulanan mereka.

"Malah, peniaga yang menyertai MBB juga beruntung kerana kita menyediakan tapak perniagaan lengkap dengan meja, alas meja dan khemah tanpa mengenakan sebarang bayaran," katanya selepas melancarkan program MBB di My Farm Outlet Chendering, di Kuala Terengganu, hari ini.

Fauzi berkata, bermula bulan ini, pelanggan yang membeli-belah di MBB dan My Farm Outlet boleh berbelanja tanpa tunai menggunakan kaedah pembayaran terkini, QR Code yang dapat memudahkan pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 3:29 PM