KHALID  (tengah) bersama  Azmar  menyaksikan majlis Pemeteraian Perjanjian Hartanah Bersama (CEA) dengan tujuh pemilik plot TRX, semalam.
KHALID (tengah) bersama Azmar menyaksikan majlis Pemeteraian Perjanjian Hartanah Bersama (CEA) dengan tujuh pemilik plot TRX, semalam.
Nasuha Badrul Huzaini


KUALA LUMPUR:TRX City Sdn Bhd (TRX City), pemaju induk Tun Razak Exchange (TRX) tidak tergesa-gesa membuka tender bagi baki 30 peratus tanah projek berkenaan kerana bakal terlepas peluang kenaikan harga tanah jika berbuat demikian.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib berkata, tumpuannya sekarang adalah menyiapkan fasa pertama pembangunan infrastruktur di projek wilayah kewangan mega itu.

“Semuanya tertakluk kepada strategi perniagaan jika pasaran tidak begitu bagus, mengapa kami harus menjualnya sekarang.

“Sehubungan itu, pada masa ini kami meletakkan tumpuan utama menyiapkan kemudahan infrastruktur yang dijangka siap tahun ini,” katanya selepas majlis Pemeteraian Perjanjian Hartanah Bersama (CEA) dengan tujuh pemilik plot TRX di sini, semalam.

Majlis disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Tujuh pemilik plot yang menandatangani CEA itu ialah Lendlease, Mulia Property Development, HSBC, CORE Precious Development Sdn Bhd, Affin Bank Bhd, IJM Corp Bhd dan Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

Sehingga kini, 70 peratus daripada 28.32 hektar tapak projek mempunyai pemilik.

Azmar berkata, walaupun menerima banyak pertanyaan dan ramai pihak menunjukkan minat memiliki tanah berkenaan, TRX City tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya.

“Ini projek mega. Jadi semua pihak berminat perlu melalui proses tadbir urus yang betul bagi memastikan integriti projek diuruskan dengan baik.

“Selain peserta tempatan, peserta antarabangsa turut menunjukkan minat terhadap baki tanah dan semuadibuat menerusi protokol yang betul,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan infrastruktur projek berkenaan, Azmar berkata, TRX City melepasi fasa perancangan dan komersial serta kini berada dalam fasa pelaksanaan.

“Sebagai pemaju induk, kami mesti menyiapkan pembangunan infrastruktur terlebih dulu kerana syarikat berjanji dengan semua pemilik plot.

“Selain itu, kami berusaha meningkatkan kedudukan jenama projek dan ia membantu pemaju plot menarik audiens yang betul bagi menjadikan kawasan ini wilayah kewangan berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:00 AM