Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: AirAsia akan menaik taraf sistem tempahannya yang menggunakan sistem Navitaire New Skies pada hujung minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan pengalaman tempahan dalam talian lebih baik kepada pelanggan.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, tempahan penerbangan tidak akan tersedia pada tempoh naik taraf itu bermula 16 Februari 2019, jam 2 petang hingga 17 Februari 2019, jam 3 pagi.

“Ia meliputi tempahan yang dilakukan di laman airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia, pusat jualan, kaunter dan pusat panggilan AirAsia,” katanya.

Menurutnya, penumpang juga tidak boleh membuat pendaftaran masuk melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kios di lapangan terbang atau mengurus tempahan mereka sehingga proses naik taraf ini selesai.

“Pelanggan yang bakal membuat perjalanan dalam tempoh ini dinasihatkan untuk mendaftar masuk secara dalam talian sebelum tempoh naik taraf ini dan mencetak pas masuk penerbangan atau mengunakan pas masuk elektronik jika tersedia.

“Daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih boleh didapati 14 hari sebelum tarikh penerbangan untuk semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X,” katanya.

Menurutnya, penumpang juga disarankan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu penerbangan yang dijadualkan untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:22 AM