MOHARMUSTAQEEM ketika  mempromosikan pakej terbaharu unifi   di The Glasses, Taman Seputeh. FOTO Nik Hariff Hassan
MOHARMUSTAQEEM ketika mempromosikan pakej terbaharu unifi di The Glasses, Taman Seputeh. FOTO Nik Hariff Hassan
Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) memperkenalkan pelan baharu unifi Mobile serendah RM19 bagi pelan data mudah alih sebesar 2GB.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, pelan pasca bayar terbaharu unifi itu direka untuk kesesuaian penggunaan dan harga.

Katanya, empat pelan baharu unifi Mobile diperkenalkan sebagai tambahan kepada pelan unifi Mobile 99 yang menawarkan data, panggilan dan SMS tanpa had.

Empat pelan baharu itu, katanya bermula pada harga RM19 bagi pelan unifi Mobile 19, RM29 bagi pelan unifi Mobile 29, RM39 bagi pelan unifi Mobile 39 dan RM59 bagi pelan unifi Mobile 59.

“TM terus berinovasi melalui maklum balas daripada pelanggan dengan memahami kemahuan pelanggan yang mahukan data pelbagai dengan harga mampu milik.

“Aspirasi kami adalah setiap isi rumah kekal berhubung dengan pelan yang kami sediakan. unifi dapat menjadikan sambungan Internet lebih mudah diakses oleh semua.

“Pelan baharu ini akan memacu pertumbuhan jenama kami dan ketika ini unifi secara keseluruhannya mempunyai 2.5 juta pengguna,” katanya selepas pelancaran pelan unifi Mobile itu di sini, semalam.

Moharmustaqeem berkata, pengenalan pelan baharu unifi Mobile itu juga bakal mempertingkatkan komitmen kumpulan sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi di Malaysia.

Katanya, menjadi tanggungjawab kumpulan memberikan Internet mampu milik dan menyeluruh.

Moharmustaqeem berkata, TM turut menyasarkan dapat menyelesaikan aktiviti naik taraf unifi dan Streamyx pada Mac ini.

Katanya, sejuta pelanggan layak menerima penaiktarafan ini dengan pelanggan unifi sedia ada bakal menikmati peningkatan kelajuan sehingga 10 kali ganda.

“Sehingga kini, kami sudah menaik taraf lebih daripada 910,000 pelanggan unifi. Manakala bagi pelanggan Streamyx, ketika ini lebih 66 peratus daripada 340,000 pelanggan Streamyx sudah menikmati naik taraf ke unifi (bagi pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan liputan unifi).

“130,000 pelanggan Streamyx belum menikmati peningkatan naik taraf ini dan kami menggalakkan mereka yang belum berbuat demikian untuk menaik taraf percuma secepat mungkin.

“unifi juga komited untuk memberikan lebih banyak peningkatan dan perkhidmatan baharu pada tahun akan datang agar memberikan sambungan yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:12 AM