GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Syarifah Dayana Syed Bakri


AIRASIA Bhd mengumumkan gangguan pada sistem tempahannya yang menyebabkan penumpang perlu membuat pendaftaran masuk lebih awal bagi penerbangan antara 19 dan 20 Januari ini.

Ia berikutan pihaknya akan menaik taraf sistem tempahan Naviire New Skies pada tarikh berkenaan dalam usahanya untuk menyediakan pengalaman dalam talian lebih baik.

AirAsia dalam kenyataan berkata, tempahan penerbangan menerusi laman web AirAsia, aplikasi mudah alih AirAsia, pejabat jualan AirAsia, kaunter dan pusat panggilannya, tidak dibuka dari 2 petang pada 19 Januari hingga 3 pagi pada 20 Januari ini.

“Pelanggan tidak dapat melakukan pemeriksaan masuk sendiri melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kios lapangan terbang atau menguruskan tempahan mereka sehingga proses menaik taraf itu selesai,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, semua pelanggan yang akan terbang sepanjang tempoh itu dinasihatkan supaya mendaftar masuk secara dalam talian sebelum tempoh menaik taraf itu serta mencetak pas masuk atau menggunakan pas e-Boarding jika tersedia.

Daftar masuk menerusi web dan mudah alih boleh dilakukan 14 hari sebelum berlepas untuk semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

Penumpang disarankan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu penerbangan yang dijadualkan untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 3:43 PM