KIM Yang Hyun
KIM Yang Hyun
Nabil Basaruddin

Shah Alam: CJ Wow Shop, rangkaian beli-belah dari rumah mahu menarik lebih ramai usahawan tempatan untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan di platform serba inovatif itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kim Yang Hyun berkata, CJ Wow Shop sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan usahawan mahupun jenama tempatan memandangkan ia mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, antara jenama tempatan yang mempunyai permintaan serta pembelian tertinggi di CJ Wow Shop adalah MUGEN, Riino, Habibi Noura, SimplySiti, GMax dan Gintell.

“Misi utama syarikat adalah untuk bekerjasama dengan usahawan dan jenama tempatan yang berpotensi tinggi bagi membantu mereka meneroka ke pasaran yang lebih meluas apabila berada di platform ini.

“CJ Wow Shop mempunyai kehadiran yang kukuh dalam pasaran e-dagang di negara ini dan apa yang ditawarkan mempunyai titik jualan unik tersendiri.

“Malah, platform ini juga akan membantu dari segi penjenamaan di mana produk oleh usahawan atau jenama itu akan lebih dikenali ramai.

“Sebagai contoh, jenama Habibi Noura mencatatkan jualan sehingga RM5 juta dan ia membuktikan platform ini adalah inisiatif jualan yang berjaya,” katanya kepada Bisnes NSTP, baru-baru ini.

CJ Wow Shop menawarkan lebih 1,500 unit penyimpanan stok (SKU) yang mana setiap minggu 250 SKU akan dipromosikan pada tempoh ia bersiaran di seluruh Rangkaian Televisyen Media Prima.

Yang Hyun berkata, secara purata kira-kira 20 produk atau SKU baru akan berada dalam senarai jumlah SKU CJ Wow Shop pada setiap bulan sekali gus menyediakan pelbagai tawaran untuk pembeli.

“Dalam masa terdekat ini juga kami mempunyai beberapa kerjasama bersama jenama tempatan seperti jenama barang kemas terkemuka, Habib Jewels,” katanya.

Selain itu, CJ Wow Shop juga sering dilihat menjadi pilihan pengguna di rumah juga disebabkan penampilan oleh selebriti tempatan yang mengacarakan program yang disiarkan secara langsung dan ulangan itu.

“Pilihan untuk selebriti untuk mengendalikan program ini adalah strategi yang tepat kerana selain populariti mereka juga dapat mempromosikan produk dengan baik,” katanya.

Strategi itu turut diperkukuhkan dengan penyertaan bintang Running Man, Ji Suk-jin dan Yang Se-chan menjadi ‘jurujual’ di CJ Wow Shop bersama dua lagi artis ternama K-pop, JeA daripada kumpulan Brown Eyed Girls dan Sung-jong (INFINATE) dalam program Sales King TV di TV9 pada Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 10:00 AM