ZOHARI Akob
ZOHARI Akob
Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: Sektor pembinaan negara dijangka mencatat pertumbuhan lebih perlahan tahun depan di tengah-tengah semakan beberapa projek mega selain selari jangkaan pertumbuhan perlahan industri pembinaan global.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Sri Zohari Akob berkata, sungguhpun jangkaan pertumbuhan yang lebih perlahan, kementerian itu yakin sektor berkenaan akan kekal antara penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun depan.

Beliau berkata, momentum pertumbuhan keseluruhan sektor kecil kejuruteraan sivil dijangka lembap disebabkan semakan keutamaan ke atas projek infrastruktur bagi merasionalisasikan kedudukan fiskal kerajaan.

“Beberapa projek disemak semula kerajaan, tetapi kami percaya industri pembinaan masih antara penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pelancaran awal pameran dan persidangan International Construction Week 2019 (ICW 2019) dan ASEAN Super 8 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Sektor pembinaan Malaysia mencatat pertumbuhan bernilai RM35.6 bilion pada suku kedua 2018, pertumbuhan tahun-ke-tahun sederhana 5.3 peratus, demikian menurut data Jabatan Perangkaan.

Sektor itu dipacu pertumbuhan positif dalam kejuruteraan sivil dan aktiviti subsektor yang berkembang masing-masing 23.6 peratus dan 12.6 peratus.

Tahun lalu industri pembinaan negara mencatat pertumbuhan 6.7 peratus.

Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata, ICW 2019 bakal menjadi edisi terbesar yang dijangka menarik lebih 1,000 syarikat membabitkan 650 ruang pameran.

Katanya, buat pertama kalinya tahun ini ICW akan menggabungkan ASEAN Super 8 ke dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 10:03 AM