PENGURUS Pemasaran dan Produk Assa Abloy, Bernard Goh menunjukkan produk inovasi sistem keselamatan kediaman kunci pintar St Guchi.
PENGURUS Pemasaran dan Produk Assa Abloy, Bernard Goh menunjukkan produk inovasi sistem keselamatan kediaman kunci pintar St Guchi.
Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: CIS Network Sdn Bhd (CIS), penganjur Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (Homedec) yakin dapat menarik lebih 80,000 pengunjung bagi melihat pelbagai reka bentuk termasuk inovasi terbaru sistem keselamatan kediaman.

Pengurus Kanan Operasi dan Projeknya, Liliane Lee berkata, pameran Homedec kali ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian 1: Pengubahsuaian dan Reka Bentuk dan Bahagian 2: Perabot dan Dekorasi.

Namun katanya, edisi kali ini akan lebih memfokus kepada memastikan kediaman mempunyai ciri keselamatan terkini.

“Keselamatan kediaman sering menjadi pilihan terakhir apabila kita mahu mengubah suai dan merekabentuk rumah. Sudah pasti, pada masa ini pengguna perlu mengambil berat mengenai sistem keselamatan kediaman mereka dengan membuat pilihan terbaik.

“Bagaimanapun, ciri keselamatan kediaman ini bakal menjadi tarikan pengunjung dan di Homedec, kami menghimpunkan 1,400 syarikat terkemuka dalam pelbagai segmen untuk merealisasikan impian kediaman anda.

“Homedec bagi kedua-dua bahagian ini juga menampilkan 460 tapak pameran dan kami menyasarkan transaksi jualan kira-kira RM100 juta bagi sepanjang pameran berlangsung,” katanya pada sidang media sempena Homedec di sini, semalam.

Pameran Homedec berlangsung pada 25 hingga 28 Oktober ini dan 1 hingga 4 November depan.

Penganjuran pameran sebanyak dua bahagian itu akan membolehkan orang ramai melihat dan mencari reka bentuk yang menarik, idea inovasi dan konsep terkini dalam dekorasi rumah membabitkan semua aspek kediaman.

Pengunjung juga berpeluang menyertai peraduan Homedec dan memenangi hadiah menarik apabila berbelanja minimum RM150 dalam satu resit.

Liliane berkata, sempena pameran Homedec kali ini juga, pengunjung bakal menikmati harga terendah dan diskaun menarik bagi produk kediaman yang berkualiti daripada jenama terkenal dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 4:15 AM