DARELL  (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif SME Aerospace, David Fj Davies (dua dari kiri) ketika melihat model jet pejuang negara di ruang pameran MyAero’18 di Kuala Lumpur, semalam.
DARELL (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif SME Aerospace, David Fj Davies (dua dari kiri) ketika melihat model jet pejuang negara di ruang pameran MyAero’18 di Kuala Lumpur, semalam.
Ayisy Yusof

Kuala Lumpur: Malaysia berpotensi menjadi negara aeroangkasa terkemuka di ASEAN menjelang 2030 seperti disasarkan menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2015-2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Darell Leiking berkata, pasaran aeroangkasa di rantau Asia Tenggara semakin menarik, menjadikan Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan sektor ini.

Katanya, Malaysia mempunyai potensi besar dalam perniagaan aeroangkasa global dan produk aerospace yang dibuat di negara ini sedang dibekalkan di seluruh dunia.

“Ini menyumbang kepada pertumbuhan eksport aeroangkasa negara. Industri aeroangkasa juga mengalami lonjakan pelaburan sejak beberapa tahun ini dengan beberapa firma multinasional mewujudkan dan memperluaskan operasi di seluruh rangkaian kemudahan aeroangkasa yang sedang berkembang.

“Kami optimis sektor aeroangkasa akan terus menjadi industri yang kukuh, memandangkan wilayah Asia Pasifik dijangka mempunyai pertumbuhan tertinggi dalam penghantaran pesawat baru untuk dekad yang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2018 (MyAero’18), di sini, semalam.

Tahun lalu, industri aeroangkasa Malaysia merekodkan perolehan keseluruhan RM13.5 bilion berbanding RM12.7 bilion pada 2016 dengan eksport meningkat 54 peratus kepada RM8.51 bilion daripada tahun sebelumnya.

Sektor perkilangan aeroangkasa Malaysia menyumbangkan kira-kira 48 peratus manakala aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih adalah sebanyak 46 peratus kepada jumlah perolehan terbabit.

Darrel berkata, sektor aeroangkasa Malaysia memperoleh pelaburan daripada GKN Aerospace, Aeroangkasa Kanan dan T7 Kilgour, awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 11:27 AM