KHOR (tengah) melancarkan Yamaha YZF R15 baharu yang berharga RM11,988 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Shamsul Munir Safini


BERCIRIKAN masa depan dengan spesifikasi enjin terkini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan Yamaha YZF R15 dalam koleksi terbaru edarannya di negara ini, hari ini.

Model berkonsepkan ‘sport’ ini adalah penambahbaikan daripada model Yamaha YZF R15 sebelum ini.

Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor berkata, model terbaru dengan sesaran enjin 155cc ditambah baik dengan lengan ayun aluminium bagi pengendalian lebih cekap dan kemas.

Beliau berkata, dengan harga RM11,988, model terbaru ini dijangka memberi saingan sengit kepada model kelas sama dengannya.

“Model terbaru ini ditambah baik dengan paparan kokpit digital dan rangka kokpit lebih aerodinamik.

“Selain itu, spesifikasi enjin ditambah baik dengan teknologi variable valve actuation (VVA) memberikan kelainan kepada penunggangnya,” katanya pada majlis pelancaran model berkenaan di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Khor berkata, model itu disasarkan kepada golongan muda berusia di antara 25 hingga 35 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 10:13 PM