OOI (kiri) pada pelancaran GrabPay, semalam.
OOI (kiri) pada pelancaran GrabPay, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya: Grab, peneraju platform dalam talian ke luar talian (O2O) di Malaysia dan Asia Tenggara berhasrat untuk meningkatkan jumlah perniagaan makanan dan minuman dalam GrabPay Mobile Wallet (GrabPay) kepada dua kali ganda dalam tempoh dua bulan akan datang berbanding 500 perniagaan pada ketika ini.

Pengarah Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina, Ooi Huey Tyng berkata, pihaknya akan lebih memberi fokus kepada perniagaan makanan dan minuman yang lebih cenderung dalam melaksanakan kaedah pembayaran secara tunai bagi menggalakkan sistem pembayaran tanpa tunai di negara ini.

“Buat permulaan, kami akan memberi tumpuan kepada perniagaan dalam segmen ini sebelum meluaskannya dalam segmen lain dengan jutaan pengguna Grab kini boleh mengakses fungsi dompet elektronik (e-dompet) yang selamat, mudah dan lebih fleksibel,” katanya pada pelancaran GrabPay di sini, semalam.

Beliau berkata, perkhidmatan yang sebelum ini hanya menerima kad debit atau kredit itu kini dipertingkatkan melalui fungsi e-dompet yang boleh diakses melalui aplikasi Grab di mana pengguna boleh menambah nilai dan membelanjakan wang atau ‘kredit GrabPay’ menerusi platform terbabit.

“Pengguna bukan saja boleh menggunakan aplikasi Grab untuk membayar perkhidmatan Grab seperti GrabFood serta pengangkutan malah boleh digunakan di premis rakan perniagaan yang mempunyai kod QR GrabPay.

“Selain itu, pengguna boleh membuat pemindahan wang secara terus antara satu sama lain dengan mudah melalui aplikasi dengan beberapa klik saja,” katanya.

GrabPay kini diterima di lebih 500 perniagaan makanan dan minuman terkenal di lapan bandar utama seluruh negara iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuantan.

Grab turut bekerjasama dengan KLIA Ekspres sebagai rakan e-dompet bermula Julai ini di mana pengguna boleh menggunakan kredit GrabPay untuk membayar tambang pengangkutan dan menikmati tawaran eksklusif promosi tempoh terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:35 AM