aktiviti pasaran yang cergas diterajui kaunter berkaitan indeks utama.
aktiviti pasaran yang cergas diterajui kaunter berkaitan indeks utama.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu bekerjasama dengan pelabur tempatan dan asing untuk membangunkan negara menjadi antara faktor mempengaruhi keyakinan pelabur dalam pasaran.

Ketua Penyelidik MIDF Research Mohd Redza Abdul Rahman berkata, ia dilihat melalui aktiviti pasaran yang amat cergas diterajui kaunter berkaitan indeks utama.

Beliau berkata, lebih RM2 bilion nilai dagangan tertumpu kepada saham CIMB, Tenaga Nasional, Sapura Energy, Maybank, Public Bank, AirAsia, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Gamuda.

“Antara faktor yang mempengaruhi keyakinan pelabur dalam pasaran berikutan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mahu bekerjasama dengan pelabur tempatan dan asing untuk membangunkan negara.

“Di samping itu, pelantikan pakar di dalam Majlis Penasihat Kerajaan, contohnya dasar fiskal dan monetari menerusi Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberi harapan kerajaan benar-benar serius membaiki tadbir urus negara,” katanya.

Peniaga bebas Nazarry Rosli berkata, keyakinan pelabur dan pengurus dana tempatan serta asing terhadap ekonomi Malaysia menyokong belian di pasaran saham tempatan.

“Pasaran dibuka lemah pada pembukaan pagi ini (semalam), tetapi meningkat semula selepas sejam didagangkan. Tumpuan adalah dalam kaunter yang berkaitan politik serta minyak dan gas.

“Kaunter yang mengalami tekanan jualan adalah pembinaan memandangkan pasaran mengambil kira masa depan projek besar yang mungkin akan dipertimbangkan kerajaan baru,” katanya.

Pasaran saham tempatan mencatatkan penutup tinggi semalam, meskipun berdepan tekanan jualan pada awal dagangan.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras itu meningkat 3.91 mata kepada 1,850.42 selepas dibuka 32.06 mata, lebih rendah pada 1,814.45 pagi tadi dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 930 berbanding 405.

Dagangan semalam sangat cergas dengan jumlah dagangan harian melonjak kepada 6.58 bilion saham bernilai RM7.31 bilion berbanding 2.35 bilion saham bernilai RM2.80 bilion pada penutup Selasa minggu lalu.

Kejatuhan dicatatkan pada awal dagangan tidak kekal lama apabila indeks penanda aras kembali positif selepas sejam didagangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:45 AM