ABDUL Farid Alias
ABDUL Farid Alias
Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) tidak terjejas dengan kebimbangan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) memandangkan hanya memiliki tiga peratus pendedahan perniagaan di China.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya hanya menanti tindakan yang diambil kedua-dua kuasa besar ekonomi itu walaupun tahap kebimbangan masih berterusan.

“Bagaimanapun, kami optimis situasi berkenaan akan reda dan mungkin tidak akan berlaku perang perdagangan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Maybank ke-58 (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Maybank Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Spekulasi mengenai perang perdagangan antara AS dan China tercetus sebaik Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus terhadap import keluli dan 10 peratus terhadap aluminium pada awal bulan lalu.

Langkah itu kemudian menerima reaksi balas daripada China apabila kerajaan republik itu turut mengenakan tarif kepada 128 produk import AS membabitkan nilai hampir AS$3 bilion (RM11.6 bilion).

Abdul Farid berkata, operasi Maybank di China terletak di Shanghai, Beijing, Kunming dan Shenzhen yang mana membabitkan perniagaan terutama pinjaman dan komoditi yang mampu menyokong pertumbuhan kumpulan.

Mengenai EGM semalam, beliau berkata, pemegang saham kumpulan perbankan itu sudah meluluskan tawaran langganan Permodalan Nasional Bhd (PNB) 20 peratus daripada jumlah saham di Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG Group), dengan pertimbangan tunai RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:21 AM