IZHAM
IZHAM
HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines melancarkan MHinsure Travel Takaful iaitu produk perlindungan perjalanan takaful pertama di negara ini di mana pelanggan dapat membeli perlindungan itu serentak dengan tiket masing-masing.

Pelan perlindungan itu ditawarkan Etiqa iaitu syarikat insurans am dan takaful terkemuka negara dengan perkhidmatan bantuan disediakan Cover-More iaitu pakar insurans dan penyedia bantuan perubatan bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata, terdapat permintaan tinggi bagi produk perlindungan takaful daripada pelancong antarabangsa pada masa ini.

Menurutnya, syarikat teruja melancarkan produk komprehensif yang mematuhi syarak dan pada masa sama, menawarkan perlindungan perjalanan komprehensif kepada pelanggan Muslim dan bukan Muslim.

“MHinsure Travel Takaful menawarkan manfaat sama seperti produk insurans perjalanan tradisional kepada pelancong dengan dua faedah tambahan untuk Badal Hajj dan Ihsarr bagi memenuhi keperluan ibadah haji,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Kamaludin Ahmad berkata, perkongsian dengan Malaysia Airlines bermula pada 2008 berjaya meningkatkan perniagaan ke tahap baru.

“Pakatan strategik berterusan ini mengembangkan kehadiran jenama global Etiqa dengan memanfaatkan destinasi tertentu yang ditawarkan Malaysia Airline atau rakan perkongsian kodnya serta rangkaian global Cover-More,” katanya.

Kerjasama antara Malaysia Airlines, Etiqa dan Cover-More bermula pada 2012 apabila ketiga-tiga syarikat membangunkan hubungan tiga hala bagi menawarkan polisi insurans perjalanan konvensional kepada penumpang Malaysia Airlines melalui pautan jualan tiket penerbangan atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 8:44 AM