MUSTAPA (dua dari kanan) melawat pameran Hari MITI 2018, semalam.
MUSTAPA (dua dari kanan) melawat pameran Hari MITI 2018, semalam.
Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendapat kelulusan Kabinet memeterai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di Chile, 8 Mac depan.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementerian yakin perjanjian ini baik bagi Malaysia dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai ekonomi global yang kukuh.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari MITI 2018 di sini, semalam.

Sebanyak 11 negara ahli sebelum ini berdepan ketidaktentuan selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri sebaik saja Donald Trump menjadi Presiden.

Baki 11 negara ahli TPP yang diketuai Jepun memuktamadkan semakan semula perjanjian dan mengubah namanya kepada CPTPP.

Hari MITI 2018 adalah kali keempat diadakan sejak diperkenalkan pada Oktober 2016 di Menara MITI.

Sempena Hari MITI 2018, Persidangan Sektor Perkhidmatan Kebangsaan 2018 diadakan dan menarik 8,000 penyertaan serta 60 pempamer sektor itu.

Aktiviti utama lain ialah Pameran Kerjaya dan Sesi Temuduga Terbuka anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2017, jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan sebanyak RM69.2 bilion.

Ia membabitkan 3,386 projek yang menjana 58,000 peluang pekerjaan baru. Sebanyak RM13 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 4:47 AM