KETUA Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid (dua dari  kiri) menyaksikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (duduk)  mencuba perisian Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang ditawarkan di MyBIM Centre.
KETUA Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid (dua dari kiri) menyaksikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (duduk) mencuba perisian Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang ditawarkan di MyBIM Centre.
HM Digital

Kuala Lumpur: Produktiviti adalah teras strategik ketiga yang digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang dilancarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) pada 2015.

Ia adalah enjin pertumbuhan utama ke arah sasaran ekonomi berpendapatan tinggi dan sebagai sektor penting kepada kemajuan negara, industri pembinaan akan membawa kepada tahap produkviti lebih baik melalui penerapan teknologi baru dan amalan moden cekap serta tenaga kerja berkemahiran.

Pada masa ini, penggunaan teknologi maklumat seperti Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) adalah terhad kerana kekurangan bakat mahir yang mampu menyediakan pelan BIM dan kos yang tinggi bagi penggunaan perisian BIM serta naik taraf perkakasan penggunaan bersesuaian dengan perisian BIM juga menjadi penyebab kepada penggunaan teknologi ini.

Untuk menangani perkara itu, CITP melancarkan kesedaran mengenai manfaat teknologi dalam kitaran hayat projek di bawah teras strategik produktiviti termasuk memudahkan pelaksanaan BIM dalam industri pembinaan melalui peraturan ditetapkan.

Baru-baru ini, CIDB melancarkan MyBIM Centre sebagai pusat sumber sehenti bagi menggalakkan penggunaan BIM dalam kalangan penggiat industri pembinaan.

Pusat ini membolehkan penggiat industri pembinaan membina model dan gambaran bagi projek bangunan dalam persekitaran simulasi dengan menggunakan BIM iaitu teknologi model bagi menghasilkan, menyampaikan dan menganalisis model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

MyBIM Centre memiliki kemudahan canggih termasuk studio yang boleh disewa untuk semua pengamal BIM yang membabitkan makmal, bilik seminar dan kawasan pameran di mana ia akan menawarkan program latihan perisian dan kemahiran BIM bagi melengkapkan penggunaan portal Perpustakaan BIM Nasional.

Sistem Bangunan Industri (IBS) adalah satu lagi inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi memacu produktiviti industri pembinaan.

Melalui IBS, pemaju boleh melengkapkan projek mereka dalam tempoh lebih singkat kepada pembeli.

Untuk pemaju, penggunaan IBS dapat mengurangkan tempoh terbuang berbanding kaedah pembinaan tradisional apabila perlu menunggu projek yang sedang berjalan selesai sebelum mengerahkan pasukan ke projek baru.

Salah satu sasaran hasil utama yang diusahakan adalah ke arah dasar mandatori untuk projek sektor swasta bernilai lebih RM50 juta untuk menggunakan IBS dan mencapai sekurang-kurangnya skor IBS 50 menjelang 2020.

Cadangan ini dikemukakan dan diluluskan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengantarabangsaan adalah teras strategik keempat di mana usaha ini akan memacu penggiat industri pembinaan Malaysia untuk mencapai kejayaan di peringkat global.

Antara cabaran yang dikenal pasti dalam CITP adalah bilangan terhad penggiat industri yang mengambil bahagian dalam projek pembinaan di luar negara disebabkan kekurangan informasi mengenai pasaran dan akses pasaran yang menimbulkan kesulitan bagi firma Malaysia untuk berjaya memenangi projek luar negara.

Salah satu inisiatif untuk meningkatkan strategi teras ini adalah dengan mengukuhkan akses kepada pembiayaan bagi juara Malaysia untuk ke luar negara di mana satu kajian dilaksanakan bagi mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi penggiat tempatan untuk ke luar negara.

Kajian ini sudah mencapai tahap 85 peratus dan membawa kepada cadangan lima produk pembiayaan di mana tiga daripada produk yang dicadangkan adalah produk baru manakala dua lagi adalah produk pembiayaan yang dipertingkatkan.

Untuk mencapai aspirasi pengantarabangsaan ini, satu daripada inisiatifnya adalah menyokong pembentukan konsortia dan mengukuhkan risikan pasaran luar negara.

Pada masa ini, sebanyak 79 projek bernilai RM2.7 bilion dimenangi syarikat Malaysia di negara luar termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Bangladesh, Kemboja dan Laos melebihi indeks petunjuk utama (KPI) awal yang ditetapkan iaitu sebanyak RM2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 8:14 AM