ELIAS (kiri) menunjukkan model projek PPA1M di Bandar Akademi YPJ di Jalan Kulai-Kota Tinggi.
ELIAS (kiri) menunjukkan model projek PPA1M di Bandar Akademi YPJ di Jalan Kulai-Kota Tinggi.
HM Digital

Johor Bahru: YPJ Builders Sdn Bhd, anak syarikat YPJ Holdings komited membina 4,000 unit rumah teres dua tingkat bagi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) membabitkan 10 daerah di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn Bhd merangkap Pengerusi YPJ Builders Sdn Bhd Elias Hasran berkata, kerajaan persekutuan menerusi unit PPA1M melantik YPJ Builders sebagai pemaju dalam menyediakan projek kediaman kakitangan awam di seluruh negeri ini.

“Kami diberi peruntukkan 4,000 unit PPA1M di seluruh negeri dan sembilan daerah sudah dirancang, selain mengenal pasti lokasi strategik di satu daerah lagi.

“Konsep PPA1M adalah projek khusus yang diperkenalkan kerajaan membabitkan kerjasama YPJ dan kerajaan persekutuan untuk memastikan kakitangan kerajaan mempunyai rumah memenuhi ciri ditetapkan,” katanya di pejabat YPJ Builders Sdn Bhd di sini.

Beliau berkata, projek pertama membabitkan pembinaan 694 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,394 dan 1,496 kaki persegi di Bandar Akademi YPJ di Jalan Kulai-Kota Tinggi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM210 juta.

“Pembangunan bagi Projek PPA1M Bandar Akademi dimulakan awal tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam 18 bulan di kawasan berkeluasan 27.5 hektar.

“Kediaman membabitkan rumah teres dua tingkat jenis A dan B itu yang dijangka diserahkan kepada pemiliknya selewat-lewatnya hujung tahun depan. Ia berdekatan kampus induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan Hab Kemahiran Johor atau Skills Johor,” katanya.

Menurutnya, ketika ini kerja tanah di lokasi kedua iaitu di Pengerang, Kota Tinggi selesai dan pembinaan akan dimulakan awal tahun depan di tanah seluas 22.2 hektar.

Katanya, lokasi strategik iaitu berdekatan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, menjadi pilihan penjawat awam yang bertugas serta bersara di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya berurusan dengan pejabat tanah bagi proses pengambilan semula tanah termasuk swasta di Batu Pahat, Kluang, Muar, Segamat dan Mersing.

“Mengikut perancangan, kami memerlukan lima tahun untuk menyiapkan rumah berkenaan dan dijangka siap menjelang 2020 atau 2021,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:46 AM