LIM Kee Yeong
LIM Kee Yeong
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd (AFFINBANK) menjangkakan proses pembinaan semula operasinya bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mampu diselesaikan dalam tempoh 12 bulan akan datang selepas ia dimulakan pada awal tahun ini.

Pengarah Perniagaan Komersial dan PKS AFFINBANK, Lim Kee Yeong berkata, proses pembinaan semula itu masih berlangsung sehingga kini di mana ia membabitkan aspek seperti pelantikan kakitangan, menetapkan struktur, mewujudkan proses, membangunkan produk dan lain-lain.

“Kami amat serius untuk meneroka segmen ini melalui penyediaan sumber dan pelaburan di mana kami mula mewujudkan bahagian PKS dengan melantik 100 kakitangan pada peringkat awal dan jumlah itu kini meningkat kepada 200 kakitangan dalam tempoh tidak sampai setahun,” katanya, di sini.

Beliau berkata, pembabitan dalam segmen PKS itu bertujuan mempelbagaikan asas pendapatan dan risiko bagi AFFINBANK yang juga adalah sebahagian inisiatif daripada program tranformasinya iaitu ‘AFFINITY’.

Menurutnya, objektif utama bank adalah untuk memenuhi keperluan PKS melalui kedudukan unik mereka, sekali gus membina perbezaan dalam tawaran perkhidmatan bagi segmen PKS.

Sebelum ini, pihaknya memiliki kehadiran kukuh dalam segmen perbankan korporat dan perbankan pengguna melalui perkhidmatan sewa beli, pajakan dan pembabitan dalam segmen PKS disifatkan amat baru meskipun pernah menerokai bidang itu 15 tahun lalu.

“Kami sedar segmen ini memerlukan pendekatan berbeza jika dibandingkan dengan korporat kerana pemahaman PKS dalam industri adalah berlainan dan ia turut bergantung pada setiap bank,” katanya.

Lim berkata, AFFINBANK akan memulakan operasi perniagaan dengan memberi fokus kepada PKS dalam segmen medium dan besar manakala segmen kecil akan menjadi segmen terakhir diterokai kerana ia memerlukan lebih banyak infrastruktur dan teknologi berikutan jumlah usahawan kecil PKS yang ramai.

Menurutnya, bank melihat segmen kecil atau mikro tidak memiliki ramai pemain dan ia membuka peluang untuk diterokai di mana AFFINBANK mula membina kedudukan bagi memenuhi keperluan usahawan di segmen terbabit.

“Kami sedar ia bukan mudah kerana bidang ini memerlukan daya saing daripada aspek produk, harga dan varian di mana secara lazimnya mereka memiliki permintaan unik dalam mendapatkan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa mereka akan berdepan dengan cabaran dalam menerapkan pemahaman dan komunikasi dengan PKS tempatan di mana mereka perlu meluaskan capaian melalui kewujudan lebih banyak pusat perniagaan, pelantikan kakitangan serta kehadiran secara digital dan fizikal.

“AFFINBANK berhasrat membuka 29 pusat perniagaan menjelang tahun depan dalam usaha untuk menyalurkan produk dan perkhidmatan berkaitan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kepada pelanggan.

“Pada masa ini, kami memiliki 16 pusat perniagaan dan jumlah itu akan meningkat kepada 19 menjelang hujung tahun ini dengan pertambahan cawangan ini penting sebagai platform saluran untuk meluaskan capaian produk AFFINBANK,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memberikan tawaran produk kepada pelanggan melalui portfolio jaminan dengan Credit Guarantee Corporation (CGC), akaun perniagaan semasa dan produk pinjaman serta mempelbagaikan risiko dalam pengilangan, perdagangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, AFFINBANK kini sudah memiliki ratusan pelanggan namun ia masih kecil dengan keseluruhan asas pelanggan PKS tidak melebihi 50,000 dan akan dipertingkatkan lagi tahun depan dengan menawarkan lebih banyak produk.

Lim berkata, pihaknya optimis dengan prospek PKS pada 2018 berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus pada suku ketiga tahun ini di samping lebih banyak projek pembangunan infrastruktur.

“Kami komited untuk membangunkan segmen PKS dan menjangkakan prestasi positif pada tahun depan dengan menyasarkan pertumbuhan dua angka bagi pinjaman dan deposit pada tahun depan melalui tawaran produk terbaik dan mengadakan perjumpaan dengan pelanggan serta aktiviti komunikasi dengan rakan media terpilih secara agresif.

“Kami berhasrat untuk mencatatkan penguasaan pasaran PKS sebanyak tiga hingga lima peratus bergantung kepada segmen dan turut menyasarkan peningkatan sumbangan melebihi 20 peratus kepada segmen perbankan Kumpulan AFFIN dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:07 AM