Lawrence (dua dari kanan)  pada majlis pelancaran kempen R32 On Wheel, semalam.
Lawrence (dua dari kanan) pada majlis pelancaran kempen R32 On Wheel, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya : Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (Daikin Malaysia), pengeluar produk pemanasan, pengudaraan dan penghawa dingin jenama Daikin melancarkan kempen R32 On Wheel bertujuan memperkenalkan Teknologi Innovaire R32 kepada orang ramai melalui trak mudah alih.

Kempen itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat trak Daikin yang dijadikan sebagai bilik pameran dan dilengkapi unit R32 iaitu produk pembersih pelembap udara serta penyaman udara Ceiling Casette Series Daikin.

Pengurus Besar Daikin Malaysia, Lawrence Song berkata, trak Daikin itu akan berkunjung ke seluruh negara dalam tempoh tiga bulan bagi memberi kesedaran mengenai kesan pemanasan global dan memperkenalkan produk teknologi inverter penjimatan tenaga terbaru iaitu R32.

“Pada masa ini, kami sudah mengenal pasti 14 lokasi seluruh negara untuk dikunjungi dan jumlah lokasi itu dijangka bertambah selepas ini dengan segala maklumat lokasi terkini kempen akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya pada pelancaran kempen terbabit, semalam.

Beliau berkata, lokasi kempen itu akan terarah kepada kawasan yang kurang diterokai terutama di kawasan yang tidak memiliki cawangan dan pengedar Daikin bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Daikin.

“Kempen ini bukan sekadar aktiviti penjenamaan Daikin semata-mata, malah menjadi platform terbaik kami untuk beramah mesra dan merapatkan lagi hubungan dengan orang ramai serta pelanggan kami,” katanya.

Produk terbaru Daikin menawarkan kebaikan R32 dengan teknologi Innovaire yang memiliki penyejukan lebih pantas dan kuasa penjimat tenaga ke arah pilihan penyejukan yang lebih optimum.

Pada masa ini, R-410A adalah penyejuk yang sering digunakan di negara maju dan jika ia ditukar kepada R32 maka kesan pemanasan global daripada hidrogen-florin-carbon (HFC) akan dapat dikurangkan dengan karbon dioksida sebanyak 800 juta tan atau 19 peratus menjelang 2030.

Untuk maklumat lanjut mengenai trak mudah alih Daikin dan lokasi kempen, layari laman web Daikin di www.daikin.com.my atau laman Facebook Daikin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 8:41 AM