MKH melancarkan projek hartanah Kajang 2 dikenali sebagai Midori dan Hiroki.
MKH melancarkan projek hartanah Kajang 2 dikenali sebagai Midori dan Hiroki.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: MKH Berhad (MKH) melancarkan projek hartanah Kajang 2 iaitu Presint 2 Fasa 3 dan Fasa 4 masing-masing dikenali sebagai Midori dan Hiroki di pusat jualannya, baru-baru ini.

Pengarah Hartanah MKH, Datuk Chong Yong Han berkata, dalam masa dua hari pelancarannya, kedua-dua fasa bagi projek itu berjaya meraih kadar penjualan sehingga 70 peratus membuktikan permintaan baik bagi projek terbabit.

Menurutnya, Kajang 2 Presint 2 adalah sebahagian daripada projek pembangunan perbandaran Kajang 2 seluas 216.5 hektar yang terletak tiga kilometer (KM) dari Stesen Pertukaran KTM dan MRT Kajang.

“Kedua-dua fasa berkenaan menawarkan sehingga 184 unit rumah teres dua tingkat yang direka khas dengan konsep minimalis pada bahagian landskapnya.

“Selain itu, antara ciri-ciri menarik projek terbabit adalah 13.54 ekar tasik yang dipenuhi bunga lili, laluan bunga ceri dan taman buluh,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Rumah teres dua tingkat itu mempunyai kawasan binaan 2,072 kaki persegi dan setiap unit mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air dengan dua siling di bahagian tingkat atas untuk ruang keluarga.

Kajang 2 adalah projek perbandaran berintegrasi pertama oleh MKH yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM5 bilion yang disasarkan kepada golongan pelabur, keluarga dan mereka yang mementingkan ciri keselamatan dan gaya hidup mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 3:26 AM