KENDERAAN dari Johor Bahru ke Singapura menerusi tambak Johor. Pembangunan RTS dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor apabila dijangka siap pada 2024. FOTO arkib NSTP
KENDERAAN dari Johor Bahru ke Singapura menerusi tambak Johor. Pembangunan RTS dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor apabila dijangka siap pada 2024. FOTO arkib NSTP
Hafiz Ithnin

PRASARANA Malaysia Bhd (Prasarana) dan SMRT Corporation Ltd (SMRT Corp) bekerjasama membangunkan dan menjadi operator bagi projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) yang dijangka beroperasi pada 31 Disember 2024.

Pembangunan projek berkenaan yang dijangka bermula pada 2019 membabitkan dua stesen utama iaitu Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, kedua-dua negara bakal memeterai memorandum persefahaman (MoU), 31 Disember ini dan membuka tender terbuka untuk projek pembinaan sejurus perjanjian itu dimeterai.

"Projek ini yang dicadangkan untuk dilaksanakan pada 2010 dan pada awal tahun ini kedua-dua negara mengeluarkan kenyataan bersama untuk melaksanakan RTS selepas 13 pusingan perbincangan dilakukan.

"Pembangunan RTS dapat dimanfaatkan 10,000 pengguna bagi setiap hala dalam tempoh sejam sehari perjalanan serta dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor," katanya selepas menyaksikan MoU antara Prasarana dan SMRT Corp di Kuala Lumpur, hari ini.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (tiga kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif SMRT Corporation, Desmond Kwek (empat kiri) sambil diperhatikan Abdul Rahman (tiga kanan). FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ketika ini, terdapat 126,000 kenderaan merentasi sempadan Johor Bahru dan Singapura dan 70 peratus daripadanya menggunakan laluan Tambak Johor.

Ketika ditanya mengenai kos pembinaan RTS, Rahman berkata, perkara itu masih belum dapat diputuskan dan nisbah majoriti pelaburan juga tidak diumumkan buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 4:28 PM