Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur : Eco World Brand mencapai jumlah jualan hartanah bernilai RM3.95 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2017 melalui penawarannya di pasaran Malaysia dan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) yang mempunyai operasi di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang, menyumbang jualan sebanyak RM2.39 bilion manakala EcoWorld International Bhd dengan perniagaan teras membabitkan pembangunan hartanah di luar Malaysia mencatatkan jualan RM1.56 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, enam projek EcoWorld Malaysia di Lembah Klang menyumbang RM1.80 bilion tujuh projeknya di Iskandar Malaysia (RM525 juta) dan dua projek semasa di Pulau Pinang menyumbang RM65 juta.

Beliau berkata, bagi tiga projek EcoWorld International di London mencatatkan jualan RM1.31 bilion manakala dua projeknya di Australia menyumbang RM249 juta.

“Peningkatan jualan yang kukuh sebanyak 40 peratus pada suku ketiga berbanding suku kedua amat menggalakkan. Pada separuh pertama tahun ini, kami sibuk menyerahkan fasa pertama hartanah yang sudah dijual dan setakat ini kami sudah menyerahkan hampir 4,500 unit kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagi baki dua bulan tahun kewangan 2017, Kumpulan akan berusaha mencapai sasaran jualannya RM4 bilion daripada projek di Malaysia dan RM2.5 bilion daripada projek antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 3:15 AM