Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Golongan milenial adalah antara kumpulan yang cekap dalam pengurusan kredit serta berdisiplin dalam melangsaikan pembayaran pembiayaan serta pinjaman pada setiap bulan, sekali gus membuktikan mereka bukan seperti yang diperkatakan sebagai tidak berkemampuan sebelum ini.

Pengurus Kanan dan Ketua Biro Dagangan dan Pengguna RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI), Zuraidah Ahmad berkata, perkara itu didapati menerusi hasil tinjauan serta kaji selidik berdasarkan statistik dari RAMCI ISCORE yang diperoleh dalam Laporan Kredit Permohonan Rumah Mampu Milik Milenial dan Generasi-Y bagi tempoh Jun 2016 hingga Jun 2017.

Beliau berkata, kajian dalam tempoh setahun itu membuktikan bahawa golongan milenial berusia antara 18 dan 34 tahun mempunyai kadar pengurusan kredit cekap dan stabil pada kadar 69 peratus berbanding mereka daripada generasi pertengahan iaitu 31 peratus.

“Kita sering kali mendengar dan melihat masyarakat menyatakan golongan milenial adalah mereka yang gagal dalam menguruskan kewangan dan mempunyai masalah dalam laporan kredit, namun ia sebaliknya dalam kajian yang dijalankan ini.

“Data yang diperoleh adalah data serta realiti sebenar yang diperoleh jadi ia mencerminkan golongan ini memahami kedudukan kredit masing-masing sebelum mereka meneruskan langkah berikutnya dengan memohon sesuatu pembiayaan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Statistik RAMCI ISCORE itu diperoleh menerusi data sebenar dalam program jelajah yang disertai RAMCI selaku agensi penarafan kredit bersama-sama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Rumah Selangorku di seluruh negara dalam tempoh setahun.

Kajian terbabit membabitkan 13,359 responden yang hadir ke program anjuran PR1MA dan Rumah Selangorku di mana 9,297 responden adalah golongan milenial yang berusia antara 18 dan 34 tahun manakala selebihnya adalah mereka yang berusia 35 tahun ke atas.

Zuraidah berkata, golongan milenial pada masa kini mempunyai banyak kelebihan apabila mereka mempunyai banyak saluran maklumat yang boleh diperoleh seperti media, Internet, agensi kerajaan dan agensi swasta yang memainkan peranan dalam membantu memberi khidmat nasihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:29 AM