Koh menunjukkan replika projek hartanah  D’Camellia.
Koh menunjukkan replika projek hartanah D’Camellia.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: SP Setia menerusi anak syarikatnya, Setia EcoHill Sdn Bhd memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM160 juta bagi projek apartmen mampu milik, D’Camellia.

D’Camellia yang terletak di kawasan perbandaran pembangunan bercampur Setia EcoHill, Semenyih mempunyai 635 unit dengan dua blok (menara) 18 tingkat.

Pengurus Besar Setia Ecohill, Koh Sooi Meng berkata, projek D’Camellia antara projek hartanah mampu milik yang ditawarkan di perbandaran pembangunan bercampur Setia EcoHill yang berkonsepkan mesra alam.

Katanya, blok pertama (Menara A) dilancarkan pada Oktober 2016 yang menawarkan 317 unit apartmen dan menerima permintaan yang memberangsangkan.

“Bagi blok kedua (Menara B) pula, sebanyak 318 unit apartmen dilancarkan pada 21 Januari 2017 dan kini mencapai kadar jualan lebih 40 peratus,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, apartmen mampu milik D’Camellia mempunyai keluasan 860 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi serta dua tempat letak kereta disediakan untuk setiap unit.

D’Camellia dijangka siap menjelang suku keempat 2019 dan dijual pada harga bermula RM262,000.

Lebih menarik, pembeli Bumiputera boleh menikmati diskaun Bumiputera sebanyak 7.0 peratus dengan harga menjadi RM242,660.

D’Camellia adalah projek hartanah mampu milik ketiga ditawarkan di Setia EcoHill selepas D’Cassia dan D’Cerrum yang dilancarkan pada 2015.

Koh berkata, kemudahan lain yang disediakan bagi projek D’Camellia termasuk kolam renang, gimnasium, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak, surau, dewan serba guna dan pondok pengawal.

Beliau berkata, walaupun harga mampu milik, D’Camellia didatangkan dengan konsep, reka bentuk dan keselesaan sempurna kerana dikelilingi udara yang nyaman, suasana hijau yang indah dan mempunyai taman yang luas untuk beriadah seisi keluarga.

Kediaman ini sesuai untuk rumah pertama bagi yang baru mendirikan rumah tangga, eksekutif muda atau untuk pelaburan mahupun pembeli dari kawasan sekitar seperti Cheras, Seri Kembangan, Kajang, Ampang, Bangi, Nilai dan Seremban.

D’Camellia mudah diakses kerana terletak pada kedudukan strategik dengan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras kajang (Grandsaga), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 5:10 AM