Ahmad   (kiri) dan   Adly  bersalaman  pada   majlis menandatangani  MoU  antara FAMA dan TH Global Services,    semalam.
Ahmad (kiri) dan Adly bersalaman pada majlis menandatangani MoU antara FAMA dan TH Global Services, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk meneroka pasaran timur tengah khususnya Arab Saudi menerusi kerjasama dengan TH Global Services Sdn Bhd (TH Global Services), anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memasarkan produk agro makanan halal keluaran usahawan Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata, kerjasama itu membabitkan tiga fasa yang dijangka mampu menjana jumlah jualan lebih 6.5 juta Saudi Riyal (RM7.38 juta).

Beliau berkata, tiga fasa berkenaan berlangsung selama tiga tahun dengan setiap fasa fokus kepada industri penyediaan makanan (katering), mesin layan diri dan peruncitan.

“Bagi fasa pertama, 14 unit menyimpan stok produk rempah masakan pracampur bernilai hampir RM1 juta digunakan 12 Dapur TH yang beroperasi ketika musim haji tahun ini.

“Produk rempah 25 tan metrik dihantar menerusi dua kontena bagi fasa pertama ini membabitkan tiga usahawan dijangka tiba di Pelabuhan Raja Abdullah, Arab Saudi pada 28 Jun ini,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAMA dan TH Global Services di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TH Global Services Sdn Bhd Adly Mohamed dan Pengarah Kanan Pasaran Antrabangsa FAMA Datuk Nazipah Jamaludin.

TH Global Services berperanan sebagai pengantara bagi penerokaan produk halal tempatan ke Arab Saudi dan negara Majlis Negara Kerjasama Teluk seperti Kuwait, Oman dan Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 3:38 AM