PESERTA yang mengikuti International Youth Forum.
PESERTA yang mengikuti International Youth Forum.
Fazurawati Che Lah


LIMA pelajar Malaysia mewakili negara ke persidangan 30th International Youth Forum peringkat antarabangsa yang diadakan di Seoul, Korea Selatan anjuran National Council of Youth Organizations In Korea (NCYOK).

Pelajar itu ialah Mogesh Sababathy, 21, Edward Soon, 22, Adina Azlin Azizudin, 23, Syaida Nadirah Mohd Padzli, 23, dan Siti Nur Amira Kipol, 25.

Forum dengan kerjasama Korean Educational Psychology Association (KEPA), Ministry of Gender Equality and Family (MOGEF), World Assembly of Youth (WAY) dan Asian Youth Council (AYC) turut disertai 180 belia dari 54 negara seluruh dunia.

Ia bertujuan menyediakan landasan kepada peserta meningkatkan pemahaman berkaitan isu global.

Selain menjalin hubungan kerjasama dan persefahaman dalam kepelbagaian kebudayaan serta bangsa, forum itu turut bermatlamat membina rangkaian global dalam kalangan belia dari seluruh dunia.

Mogesh, penuntut tahun dua Biologi Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbangga kerana dapat membawa nama negara dan universiti ke peringkat antarabangsa, sekali gus membincangkan isu berkaitan belia serta berkongsi inisiatif dalam memperkasakan golongan itu.

Katanya, tema forum pada tahun ini merangkumi keterangkuman, keterbukaan dan pembabitan belia dalam agenda nasional mahupun pada peringkat global tanpa mengira usia, kaum serta latar belakang seseorang.

“Hal ini penting untuk memastikan setiap inisiatif kerajaan yang diambil dalam negara merangkumi pertimbangan semua lapisan masyarakat termasuk belia terutama perkara yang boleh memberi manfaat kepada golongan itu.

“Ini sekali gus membuktikan pandangan anak muda perlu diberi rujukan utama,” katanya.

Menurutnya, pembabitan golongan muda dalam pembangunan negara adalah elemen yang mesti dititikberatkan kerana kumpulan belia mempunyai semangat daya saing dan kesungguhan tinggi.

EMPAT daripada lima pelajar dari Malaysia yang mengikuti forum antarabangsa.
EMPAT daripada lima pelajar dari Malaysia yang mengikuti forum antarabangsa.

“Mereka mempunyai daya fikiran yang cekap dan berkebolehan untuk berfikir dengan lebih kreatif serta kritis.

“Program serupa ini wajar dipromosikan dengan lebih kerap dan seharusnya kerajaan memberi sokongan serta galakan kepada golongan muda untuk menyertai program yang menyediakan ruang perbincangan dan perkongsian bersama anak muda dari seluruh dunia.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan hubungan baik antara negara, mewujudkan dan membangunkan masyarakat global yang bersatu teguh, sekali gus melahirkan golongan belia yang cakna serta prihatin terhadap isu antarabangsa,” katanya.

Program yang berlangsung selama lapan hari itu memberi pendedahan kepada peserta dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang mencabar minda untuk kepentingan belia di negara masing-masing.

Platform diskusi pada peringkat antarabangsa itu membolehkan peserta meningkatkan persefahaman dan mencontohi usaha pembangunan belia di seluruh dunia.

Antara topik yang diperbincangkan dalam forum berkenaan termasuk kepelbagaian dan sifat keterbukaan dalam sistem pendidikan negara, kepentingan dan kesan penyalahgunaan media serta keterangkuman semua lapisan masyarakat dalam perancangan bandar.

Selain itu, aktiviti seperti mengunjungi Global Village anjuran AIESEC Korea dan lawatan kebudayaan ke Changdeok Palace, National Museum of Korea dan N Seoul Tower juga diselitkan sebagai pengisian tambahan untuk mendedahkan peserta kepada kepelbagaian dan kekayaan budaya di Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:07 PM