MEROBOHKAN dinding sebagai gimik perasmian.
MEROBOHKAN dinding sebagai gimik perasmian.
Fazurawati Che Lah

Ruang kejiranan yang berkualiti berupaya melahirkan masyarakat sejahtera.

Ia juga boleh dianggap sebagai penentu kesejahteraan hidup bagi sesebuah masyarakat dan melaluinya juga kerjasama serta perpaduan dapat diperkukuhkan.

Selaras dengan tujuan itu, Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (ISI UTM) bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Program Rejuvenasi Pangsapuri 560 Bukit Puchong di Perumahan Kos Rendah Bukit Puchong.

Ketua projek, Prof Madya Dr Gurupiah Mursib berkata, program itu adalah usaha transformasi komuniti berpendapatan rendah untuk membina ruang kejiranan berkualiti menerusi perancangan inklusif.

“Projek ini membabitkan seluruh warga komuniti. Ia membawa usaha melahirkan masyarakat baharu yang berdaya kendiri dalam membangunkan rancangan kejiranan mereka. ISI UTM menjadi perunding dalam menjayakan usaha sama ini,” katanya.

Seramai 38 penuntut Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Skudai, Johor terbabit dalam program berkenaan serta dijadikan anak angkat pangsapuri bagi melaksanakan khidmat masyarakat mereka di sana.

Dr Gurupiah berkata, rejuvenasi (nafas baru) fizikal kejiranan itu dimulakan dengan pembinaan Laman Edible dan diikuti dengan membina ruang serba guna blok C.

USAHA mengecat turut dilakukan bagi menceriakan kawasan.
USAHA mengecat turut dilakukan bagi menceriakan kawasan.

“Perancangan projek ini dilaksanakan dari peringkat akar umbi dengan membabitkan komuniti untuk menimbulkan rasa pemilikan dan kepentingan bersama.

“Banyak aktiviti pengukuhan komuniti akan dilaksanakan sepanjang lima bulan ini antaranya mengukuhkan semangat kerjasama dan ukhuwah menerusi keramaian atau gotong- royong, mengukuhkan jawatankuasa penduduk serta menimba pengetahuan daripada lawatan ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pasir Gudang, UTM dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata, program yang dibiayai MPSJ dengan tajaan daripada syarikat korporat dan perseorangan itu bakal memanfaatkan 560 isi rumah.

“Kami menyasarkan projek rintis ruang kejiranan Pangsapuri Bukit Puchong siap pada penghujung tahun ini,” katanya.

PENANAMAN pokok turut dilaksanakan.
PENANAMAN pokok turut dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:00 PM