VERSTAPPEN lebih selesa beraksi di Catalunya, Austria dan Silverstone. FOTO Reuters
VERSTAPPEN lebih selesa beraksi di Catalunya, Austria dan Silverstone. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Max Verstappen sepatutnya kembali di tempat yang membolehkan dia berasa gembira apabila saingan Formula Satu (F1) bersambung dengan tiga perlumbaan di Eropah bermula dengan Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar de Catalunya hujung minggu ini.

Juara dunia tiga kali dari Red Bull itu meraih kemenangan pertama dalam karier F1 di trek di Barcelona pada 2016, ketika dia baru berusia 18 tahun, dan muncul sebagai pemenang dalam dua aksi terakhirnya di situ.

Ia akan bersambung di Austria pada hujung minggu berikutnya dan kemudian GP British di Silverstone, semua litar yang dimenangi Verstappen pada tahun lalu ketika dia merangkul kejuaraan paling dominan dalam rekod.

Perlumbaan tahun ini diadakan sebaik pemandu Belanda itu memenangi GP Kanada dalam keadaan litar basah, selepas tiga perlumbaan dengan pemandu berbeza muncul juara, dan trek itu akan lebih sesuai dengan jenteranya apabila menyatakan sedikit kebimbangan mengenai bonggol dan pembahagi litar.

"Ia mempunyai gabungan selekoh berkelajuan tinggi dan rendah dan dari segi sejarah kami memandu dengan baik di sana jadi diharapkan kami dapat memaksimumkan prestasi jentera pada hujung minggu ini," kata Verstappen, yang mendahului pemandu Ferrari, Charles Leclerc dengan 56 mata selepas sembilan perlumbaan.

"Kami mensasarkan untuk mengekalkan momentum dari Kanada, jadi kami tidak sabar-sabar untuk berlumba hujung minggu ini dan semoga mempunyai cuaca yang baik."

Verstappen mengetuai kejuaraan selama lebih daripada dua tahun, mengambil alih tempat teratas di Sepanyol pada Mei 2022 dan kekal di hadapan sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 10:25 PM