SOMASCHINI meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. FOTO GPOne.com
SOMASCHINI meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. FOTO GPOne.com
Reuters

Brasilia: Penunggang motosikal Argentina, Lorenzo Somaschini, 9, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan semasa sesi latihan di pertandingan peringkat junior di Brazil.

Somaschini dimasukkan ke hospital di Sao Paulo pada Jumaat lalu selepas terjatuh di litar Interlagos dalam latihan bebas bagi Piala Junior Honda yang juga antara salah satu acara perlumbaan belia terbesar di rantau ini.

"Superbike Brazil memaklumkan dengan rasa sedih dan dukacita mengenai kematian penunggang Lorenzo Somaschini petang Isnin.

"Penunggang Argentina, kelahiran Rosario itu dimasukkan ke Hospital Albert Einstein di Sao Paulo di bawah jagaan perubatan intensif. Tetapi malangnya dia tidak dapat bertahan.

"Semua dalam pasukan Superbike Brazil terkejut dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Somaschini," kata Superbike dalam kenyataan rasmi di media sosial.

Menurut jurulatih Somaschini, Diego Pierluigi, insiden berlaku di selekoh paling perlahan di litar ketika dia sedang dia menunggang pada kelajuan hanya 40 km sejam.

"Kelajuannya perlahan, tetapi Lolo (Somaschini) terhentak kepalanya di bahagian bawah topi keledar, dalam posisi yang menyebabkan keradangan di pangkal tengkoraknya," katanya.

Bekas juara dunia tiga kali MotoGP yang sudah bersara, Jorge Lorenzo, yang dikagumi oleh Somaschini, mengucapkan takziah kepada keluarga penunggang muda itu.

"Hati saya hancur kerana saya adalah idolanya dan dia menggunakan nombor saya (nombor 99 di bahagian motor milik Somaschini)," kata penunggang Sepanyol itu di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:52 AM