TUNKU Abdul Rahman pada sidang media hari ini. FOTO Ihsan Johor Royal Press Office
TUNKU Abdul Rahman pada sidang media hari ini. FOTO Ihsan Johor Royal Press Office
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menjangkakan fasa pertama untuk pembangunan semula Litar Johor akan siap antara dua hingga tiga tahun lagi bersama ciri-ciri keselamatan yang baik.

Tunku Abdul Rahman yang aktif dalam sukan empat roda berkata, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang berusaha untuk membaik pulih litar berkenaan, dijangka akan membuat kenyataan rasmi berhubung perkembangan terbaru litar berkenaan pada bulan depan.

"InsyaAllah bulan depan Tunku Temenggong sendiri akan buat kenyataan rasmi tentang Johor Circuit dan daripada situ kita akan dapat tahu lebih maklumat lagi.

"Saya rasa untuk fasa satu, (akan siap) lebih kurang dua hingga tiga tahun sebab banyak lagi yang perlu ditambah baik. Jangan lupa, litar ini dibina pada tahun 80-an.

"Jadi kita kena ikut peraturan di bawah FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan sebab itu kita tutup litar itu sebab kalau ada apa-apa kemalangan, jika kita mahu anjurkan perlumbaan pada masa depan, FIA tak akan beri (kelulusan).

"Sebab itu untuk keselamatan rakyat, kita ambil alih dan tak buka. InsyaAllah dalam masa dua tiga tahun saya rasa fasa satu boleh siap dengan ciri-ciri keselamatan yang baik," katanya pada sidang media hari ini sempena perlumbaan Fanatec GT World Challenge hari ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa litar itu bakal dibina semula dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi petroleum di negara ini.

Bagaimanapun, Tunku Temenggong sudah menafikan kesahihan laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:52 PM