HAFIZH Syahrin memperagakan motosikal Ducati Panigale V4R yang akan digunakan pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024. FOTO RIZAR MOHD NOOR
HAFIZH Syahrin memperagakan motosikal Ducati Panigale V4R yang akan digunakan pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pelumba Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berazam untuk `mengaum' pada penampilan pertama dalam mengharungi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024 yang menyingkap tirai pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 Mac hingga 17 Mac ini.

Pelumba yang berusia 29 tahun itu berkata, segala persiapan untuk mengharungi pusingan pertama di Thailand berjalan lancar selepas mengadakan latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini dengan menunggang motosikal baharu model Ducati Panigale V4R.

"Sejujurnya sepanjang karier dalam perlumbaan saya belum pernah menunggang motosikal V4R tapi sistem elektronik yang terdapat di motosikal itu dan apa yang diberitahu oleh ketua mekanik, Loris Caroli kelebihan motosikal itu terletak kepada sistem brek.

"Apabila saya mengadakan latihan di Sepang memang dapat rasakan perbezaan terutama sistem brek yang lebih mantap berbanding motosikal lain yang pernah saya tunggang selain sistem suspensi yang baik apabila mengambil selekoh serta kemantapan dari aspek pecutan terutama di trek yang lurus.

"Boleh saya katakan motosikal V4R ini `mesra' penunggang dan saya cepat untuk menyesuaikan diri apabila menunggangnya namun saya perlu lebih banyak latihan untuk mendalami lagi sistem elektronik untuk tunggang lebih laju," katanya.

Pelumba yang mendapat gelaran El Pescao oleh peminat menambah ada beberapa pilihan untuk memilih tayar yang sesuai apabila berlumba nanti dan kemungkinan akan menggunakan tayar jenis medium berbanding tayar lembut kerana tayar jenis medium lebih laju ketika berlumba di litar.

Ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi apabila memulakan kempen ARCC di Thailand nanti, Hafizh Syahrin menganggap juara musim lalu, Markus Reiterberger dari pasukan ONEXOX BMW TKKR bakal menjadi pencabar utamanya.

"Saya juga tidak boleh pandang rendah keupayaan pelumba seperti Zaqhwan (Zaidi), senior saya ,Azlan Shah (Kamaruzaman) serta pelumba dari Indonesia, Andi Farid (Izdihar) kerana kesemua mereka ada kelebihan tersendiri dan saya perlu fokus untuk memantapkan lagi tunggangan dan berusaha untuk meletak diri di podium.

"Mengenai lima litar yang bakal diharungi, saya menganggap Litar Antarabangsa Zhuhai, China cukup mencabar kerana litar berkenaan agak lama dan trek tidak rata yang mungkin beri sedikit kesukaran untuk saya berlumba nanti tapi itu saya anggap sebagai asam garam dalam perlumbaan," kata Hafizh Syahrin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 2:35 PM