CHRISTIAN Horner. FOTO AFP
CHRISTIAN Horner. FOTO AFP
AFP

Paris: Formula Satu (F1) menggesa Red Bull menyelesaikan siasatan mereka terhadap ketua pasukan, Christian Horner dengan segera.

Persiapan pasukan juara dunia itu menjelang musim baharu dicemari dengan dakwaan Horner melakukan salah laku di tempat kerja terhadap seorang kakitangan wanita.

Syarikat induk Red Bull iaitu gergasi minuman Austria, melantik peguam luar untuk menggalas tanggungjawan berhubung siasatan itu.

Horner disoal siasat selama lapan jam oleh peguam di lokasi rahsia dekat London minggu lalu, beberapa hari sebelum salah seorang ketua pasukan paling berjaya sepanjang zaman itu muncul pada majlis pelancaran kereta 2024, Khamis lalu.

F1 buat kali pertamanya mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu tiga hari sebelum sesi ujian pramusim bermula di Bahrain.

"Kami dimaklumkan Red Bull sudah melakukan siasatan terhadap dakwaan di Red Bull Racing.

"Kami berharap perkara itu akan dapat dijelaskan secepat mungkin, selepas proses yang adil dan teliti.

"Kami tidak akan mengulas lebih lanjut pada masa ini," kata kenyataan F1 itu.

Apabila berita mengenai hubungan sulit itu muncul di dada akhbar Belanda, De Telegraaf, Red Bull mengesahkan mereka akan melancarkan siasatan dan menangani dengan serius kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 11:22 AM