LANDO Norris. FOTO AFP
LANDO Norris. FOTO AFP
AFP

London: Lando Norris percaya dia boleh membawa McLaren muncul juara dunia Formula Satu (F1) selepas mengisytiharkan bahawa Max Verstappen dan Red Bull boleh ditewaskan pada 2024.

McLaren muncul sebagai pesaing yang memberi kejutan kepada Red Bull tahun lalu selepas mempamerkan peningkatan prestasi di pertengahan musim dengan Norris mencatat tujuh podium.

Pemandu berusia 24 tahun itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Red Bull atau Mercedes, berikutan perpindahan Lewis Hamilton ke Ferrari untuk musim 2025.

Tetapi Norris komited bersama McLaren dengan menandatangani kontrak baharu bulan lalu yang akan menyaksikannya kekal bersama pasukan Britain itu untuk sekurang-kurangnya tiga musim lagi.

Red Bull mendominasi pada 2023, memenangi 21 daripada 22 perlumbaan dengan juara dunia tiga kali, Verstappen menang 19 kali.

Bercakap pada pelancaran kereta McLaren 2024, awal pagi tadi, Norris berkata: "Jika anda bertanya, 'adakah Red Bull boleh dikalahkan?' Saya akan menjawab 'ya'.

"Kami harus mempercayainya kerana kami sangat dekat dengan mereka beberapa kali tahun lalu dan pada masa tertentu kami menewaskan mereka.

"Bolehkah kami mengalahkan mereka selama semusim? Itu akan menjadi satu cabaran dan sangat sukar untuk dilakukan kerana prestasi mereka sangat baik, tetapi saya kekal optimis."

Norris akan disertai oleh Oscar Piastri, yang mempamer prestasi mengagumkan pada penampilan pertamanya musim lalu dan akan memandu jentera MCL38 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 9:08 AM