LEWIS Hamilton. FOTO AFP
LEWIS Hamilton. FOTO AFP
AFP

London: Jenson Button percaya Red Bull kekal sebagai pilihan utama menjelang saingan Formula Satu (F1) tahun depan tetapi dia turut yakin bekas rakan sepasukannya, Lewis Hamilton akan kembali menyerlah jika memperoleh kereta kompetitif.

Hamilton mengharungi dua musim tanpa kemenangan bersama Mercedes dan menyaksikan Max Verstappen mendominasi dua musim terakhir itu sejak dinafikan gelaran kelapan di Grand Prix Abu Dhabi 2021.

Verstappen memenangi 19 daripada 22 pusingan perlumbaan tahun ini untuk merangkul kejuaraan dunia ketiga berturut-turut dengan bergaya dan Button menjangkakan Verstappen-Red Bull akan kekal mendominasi saingan 2024.

"Red Bull akan berada di hadapan sekali lagi tahun depan," kata juara dunia 2009 itu kepada AFP.

"Mereka mempunyai kereta yang mantap tahun ini dan sudah melakukan persediaan rapi untuk tahun depan. Masalahnya ialah jika anda hanya melihat keputusan perlumbaan, anda akan berkata, 'Oh Max Verstappen menang lagi'.

"Max tidaklah mendominasi sepanjang masa, tetapi dia cemerlang di hujung musim. Adakah saya mahu lebih ramai pemandu lain menang? Ya, sudah tentu, tetapi ia tidak akan berlaku sekarang.

"Lewis tidak akan berlumba jika dia fikir dia tidak cukup bagus. Lewis pastinya cukup bagus untuk memenangi perlumbaan dan memenangi kejuaraan tetapi dengan kereta yang kompetitif," kata Button lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 5:53 PM