LAPORAN media mendakwa Wolff terima maklumat sulit. FOTO AFP
LAPORAN media mendakwa Wolff terima maklumat sulit. FOTO AFP
Reuters

London: Mercedes dan Kumpulan Formula Satu (FOM) berang selepas Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sedang menyiasat spekulasi yang dikeluarkan media bahawa seorang prinsipal pasukan menerima maklumat sulit daripada seorang pekerja pemegang hak komersial.

Prinsipal pasukan itu tidak didedahkan namanya tetapi laporan media menyebut Toto Wolff dari Mercedes dan isterinya, Susie, yang mengetuai Akademi F1 yang semuanya pelumba wanita dan melaporkan kepada ketua eksekutif F1, Stefano Domenicali.

"FIA menyedari spekulasi media yang bertumpu kepada dakwaan maklumat yang bersifat sulit diserahkan kepada prinsipal pasukan F1 daripada kakitangan FOM," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

"Jabatan pematuhan FIA sedang meneliti perkara itu."

Formula Satu milik Liberty Media berkata kenyataan FIA tidak sepatunya dikongsikan terlebih dahulu.

FOM berkata dakwaan itu salah dan tiada ahli pasukan mereka membuat sebarang pendedahan tanpa kebenaran kepada prinsipal pasukan.

FOM menambah bahawa ia mempunyai 'proses dan prosedur mantap yang memastikan pengasingan maklumat dan tanggungjawab sekiranya berlaku sebarang konflik kepentingan yang berpotensi.

Mercedes berkata 'dakwaan itu tidak berasas' dari satu saluran media.

"Pasukan tidak menerima sebarang komunikasi daripada Jabatan Pematuhan FIA mengenai topik ini dan amat mengejutkan apabila mengetahui penyiasatan itu melalui kenyataan media," tambahnya.

"Kami menolak sepenuhnya dakwaan dalam kenyataan dan liputan media yang berkaitan, yang secara salah menjejaskan integriti dan pematuhan prinsipal pasukan kami.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 11:25 AM