HAMILTON sudah tidak sabar untuk beraksi dengan jentera baharu musim depan. FOTO AFP
HAMILTON sudah tidak sabar untuk beraksi dengan jentera baharu musim depan. FOTO AFP
Reuters

Sao Paulo: Lewis Hamilton berkata dia sedang menghitung hari untuk menamatkan saingan Formula Satu (F1) musim ini dan dapat menyimpan jentera Mercedes yang digunakan sekarang dalam lipitan sejarah, selepas saingan pecut di Sao Paulo yang mengecewakan.

Juara dunia tujuh kali itu dan pasukannya tiba di Brazil dengan penuh harapan selepas prestasi mantap dalam dua perlumbaan sebelum ini tetapi di Interlagos menyaksikan mereka mencatat keputusan sebaliknya.

"Ia sangat mengerikan. Ia tidak menyeronokkan apa-apa," kata Hamilton selepas menamatkan pecutan 100 kilometer (km) di tempat ketujuh, manakala rakan sepasukan George Russell, juara tahun lalu di Brazil, di tempat keempat.

"Saya bergelut dengan masalah jentera sejak dari awal lagi."

Kedua-dua kereta mengalami kemerosotan tayar yang ketara semasa perlumbaan, dengan Russell berakhir 25.8 saat (s) di belakang pemenang perlumbaan dari Red Bull Max Verstappen - margin yang ketara dalam 24 pusingan sahaja - dan Hamilton ketinggalan 34.7s.

Hamilton memberitahu pemberita kereta itu mengalami understeer (tayar depan hilang cengkaman) dan snap oversteer (tayar belakang hilang cengkaman) dengan prestasi tayar menurun.

"Kami tidak akan menang, itu sudah pasti. Beberapa perlumbaan terakhir kami teruja bahawa kami menunjukkan peningkatan dan ia sangat positif untuk dilihat.

"Tetapi kemudian anda datang ke trek lain dan anda mempunyai tahap (tayar) paling teruk yang anda alami selama berabad-abad, jadi anda tidak tahu apa yang diharapkan dengan trek ini.

"Tetapi hanya beberapa lagi perlumbaan dengan kereta ini dan ia sudah selesai, jadi saya akan gembira.

"Tahun ini anda hanya menghitung hari, cuba menikmati setiap hari yang anda boleh."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:16 PM