MOKHZANI  (tengah) bersama barisan kepimpinan penggal 2023-2026.
MOKHZANI (tengah) bersama barisan kepimpinan penggal 2023-2026.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Kita ada 18 orang yang mengundi (ahli gabungan) saja, buat apa nak berdendam." Demikian reaksi Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir yang berjaya mempertahankan jawatannya selepas dicabar oleh legenda sukan permotoran dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu bagi penggal 2023 sehingga 2026, hari ini.

Jelas Mokhzani, tiada sebab untuk beliau berdendam terhadap Shahrol Yuzy serta 'kem pencabar' kerana ia tidak memberi sebarang manfaat kepada MAM serta sukan permotoran negara.

"Saya kenal dia (Shahrol Yuzy) berapa lama....dia sendiri kata bila dia berlumba dulu iaitu kali terakhir pada 2002, saya dah ada di SIC (Litar Antarabangsa Sepang).

"Ini keluarga yang kecil, kita tak boleh berdendam kerana satu hari nanti, input daripada mereka ini akan menjadi sangat berguna kepada MAM," katanya pada sidang media selepas pemilihan AGM MAM, hari ini.

Mokhzani memperoleh kemenangan majoriti selepas 13 daripada 18 ahli gabungan memihak kepadanya.

Selain beliau, Timbalan Presiden, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi; Setiausaha Agung, S N Nanthan dan Bendahari, Datuk Razlan Razali berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

Sementara itu, Mokhzani mengakui terdapat rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh ahli gabungan pada AGM hari ini dan beliau sedia mengadakan perbincangan bersama mereka selepas ini.

"Antaranya ramai ahli gabungan yang tak puas hati adalah ketelusan dalam MAM. Mereka mungkin tak faham isu ketelusan ini adalah dua hala. Anda mahu melihat apa yang kami buat, kami mahu lihat apa yang anda lakukan.

"Jadi kita boleh mengadakan mesyuarat antara kita dengan ahli gabungan supaya mereka dapat berjumpa dengan kita dan kita akan bentangkan apa yang kita buat.

"Ia juga memberi peluang untuk mereka berbincang dan idea mereka di bawa ke pihak ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 8:35 PM