Ibrahim Norrodin.
Ibrahim Norrodin.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ibrahim Norrodin akan memanfaatkan sepenuhnya peluang kali kedua beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSSP di Portugal minggu ini.

Minggu lalu, Ibrahim meraih pengalaman pertama pada saingan WSBK di Aragon, Sepanyol dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-23 selepas dia menggantikan abangnya, Adam yang tidak dapat berlumba kerana mengalami kecederaan ketika pusingan di Perancis.

Melihat pencapaian yang agak baik itu, Petronas Mie Racing Honda memberi peluang kedua kepada Ibrahim menerusi tiket wild card pada minggu ini sekali gus menyaksikannya bakal meraih pengalaman kali pertama beraksi di litar Autoodromo Internacional do Algarve dekat Portimao.

Adam masih tidak dapat berlumba dan kali ini dan tempatnya akan digantikan oleh pelumba Itali, Andrea Migno bersama-sama seorang lagi pelumba tetap, Tarran Mackenzie.

Ia sekali gus menyaksikan Petronas Mie Racing Honda akan membariskan tiga pelumba di WorldSSP pada minggu ini.

"Saya tidak pernah beraksi di Portimão sebelum ini, jadi ia pasti mencabar untuk memahami litar baharu bagi saya. Saya meraih pengalaman di Aragon minggu lalu dan pasukan sangat membantu saya menyediakan jentera.

"Ia adalah pengalaman pertama saya beraksi di WorldSSP, jadi masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya amat menantikan satu lagi peluang beraksi di Portugal. Terima kasih kepada pasukan kerana memberi peluang sekali lagi," Ibrahim.

Selepas 10 pusingan, Adam menduduki tempat ke-23 dengan mengumpul 20 mata manakala Mackenzie di kedudukan ke-17 dengan 40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:34 PM