PASUKAN formula satu (F1) Red Bull. FOTO Reuters
PASUKAN formula satu (F1) Red Bull. FOTO Reuters
Agensi

Suzuka, Jepun: Pasukan formula satu (F1) Red Bull kembali mempamerkan 'taring' sebenar selepas mengharungi detik sukar di Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu lalu, apabila mengungguli ujian masa pada sesi latihan pertama menjelang GP Jepun, Ahad ini.

Max Verstappen mendominasi ujian masa itu yang dilakukan selama 60 minit di Litar Suzuka, dengan mencatat kelebihan 1.3 saat di depan pelumba lain.

Verstappen yang juga penyandang juara dunia nyata berada dalam kelas tersendiri pada sesi latihan itu terutamanya pecutan di selekoh yang cukup pantas.

Pencabar terdekat Verstappen adalah dari pasukan Ferrari babitkan pelumbanya iaitu Carlos Sainz yang berupaya menghalang Verstappen di GP Jepun itu.

Pemandu McLaren pula, Lando Norris di tempat ketiga, dan dia juga antara pilihan untuk memenangi perlumbaan di Suzuka berdasarkan kepada jentera pasukan itu yang semakin laju.

Dalam perlumbaan di Singapura Ahad lalu, Sainz memenangi GP Singapura untuk menamatkan rekod 10 kemenangan berturut-turut Verstappen dan menghancurkan impian Red Bull untuk mengharungi musim ini tanpa kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 12:31 PM