MOKHZANI (dua kanan) bersama Jazeman (dua kiri) pada sidang media APMC, hari ini. FOTO MAM
MOKHZANI (dua kanan) bersama Jazeman (dua kiri) pada sidang media APMC, hari ini. FOTO MAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik (APMC) yang kali pertama dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 September hingga 1 Oktober ini, bakal merevolusikan dunia sukan permotoran di rantau ini.

Diwujudkan dengan misi untuk menyediakan platform lebih mudah diakses peminat, pasukan dan pemandu, APMC bakal menjanjikan penganjuran terbaik daripada pelbagai disiplin sukan permotoran.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan penganjuran dwitahunan Sukan Permotoran FIA, APMC menyasarkan untuk menyediakan platform lebih mampu milik sekali gus dapat mencari bakat baharu yang bakal meraih pengalaman pada skala lebih besar.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir berkata, penganjuran APMC bukan sekadar untuk berlumba.

"Selaku penganjur kejohanan sulung ini, kami amat berbesar hati kerana dipilih oleh FIA untuk menjadi tuan rumah APMC. Pengiktirafan ini bukti kepada kami di MAM dan Malaysia secara keseluruhan untuk menjadi penyumbang utama dalam pertumbuhan dan pembangunan sukan permotoran di Rantau Asia Pasifik.

"APMC mengenai membuka pintu ke pentas antarabangsa, membolehkan mereka yang terbabit berkongsi minat dan kemahiran dengan khalayak lebih luas.

"Pasukan, pemandu dan peserta akan memperoleh manfaat daripada pendedahan dan pengalaman yang hanya dapat dirasai menerusi penganjuran seperti ini," katanya.

Lima disiplin sukan akan dilangsungkan di bawah Peraturan Pertandingan Kebangsaan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), yang menggabungkan Kod Sukan Antarabangsa FIA.

Lima disiplin itu ialah Karting, karting Slalom, Auto-Gymkhana, Rali, dan e-Sukan. Dua puluh tiga negara menyertai APMC akan bersaing untuk merebut pingat emas dalam setiap acara kerana pungutan pingat akan menentukan pemenang keseluruhan.

Pengurus pasukan Malaysia untuk acara selama dua hari itu adalah pemandu berpengalaman dan pemenang perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia FIA, Jazeman Jaafar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 6:44 PM