HAMILTON terus berbakti bersama Mercedes. FOTO Reuters
HAMILTON terus berbakti bersama Mercedes. FOTO Reuters
AFP

Monza: Lewis Hamilton dan George Russell memperbaharui kontrak mereka dengan Mercedes sehingga 2025, selepas pasukan Formula Satu (F1) itu mengumumkannya hari ini.

Silver Arrows mengesahkan bahawa pasangan itu akan terus memandu bersama dalam dua musim akan datang menjelang Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini.

Hamilton kini menduduki tempat keempat keseluruhan dalam kedudukan pemandu, 183 mata di belakang pendahulu dan juga penyandang juara Max Verstappen yang sedang memburu kemenangan ke-10 berturut-turut.

Rakan sepasukannya, Russell di kedudukan ketujuh selepas mengumpul 99 mata.

"Kami sentiasa dahagakan kejayaan. Kami belajar daripada setiap kejayaan tetapi juga setiap kemunduran... kami terus berjuang tidak kira cabaran dan kami akan menang sekali lagi," kata Hamilton dalam satu kenyataan.

"Saya berterima kasih kepada pasukan yang menyokong saya di dalam dan di luar trek. Kisah kami belum selesai, kami berazam untuk mencapai lebih banyak lagi bersama dan kami tidak akan berhenti sehingga kami melakukannya."

Juara dunia tujuh kali Hamilton akan melanjutkan karier F1 selepas hari jadinya yang ke-40 bersama Mercedes, di mana dia memenangi enam gelaran pemandunya antara 2014 dan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 9:01 PM