LECLERC akui Ferrari masih belum mampu bersaing dengan Red Bull. FOTO AFP
LECLERC akui Ferrari masih belum mampu bersaing dengan Red Bull. FOTO AFP
Reuters

Baku: Ferrari masih terlalu perlahan untuk melakar kemenangan dan podium ketiga di belakang dua jentera Red Bull di Grand Prix (GP) Azerbaijan, semalam adalah pencapaian terbaik yang mampu mereka lakukan, kata Charles Leclerc selepas memastikan podium pertama pasukannya musim ini.

Leclerc bermula dari petak pertama dan menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pecut Sabtu lalu dari grid yang sama, tetapi tidak dapat mengekalkan kedudukan pendahulu selepas tiga pusingan pada perlumbaan semalam.

"Ia dalah aksi maksimum yang dapat saya lakukan atau yang dapat pasukan lakukan," katanya yang menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 21 saat di belakang pemenang, Sergio Perez.

"Strategi kami sangat bagus, segala-galanya berjalan dengan lancar tetapi kami tidak mempunyai kepantasan pada kereta untuk bersaing dengan dua kereta Red Bull."

"Aston Martin juga nampaknya mempunyai kereta yang lebih pantas berbanding kami. Ia adalah satu usaha yang baik untuk kekal di hadapan Fernando (Alonso).

"Realitinya adalah kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kembali meraih kemenangan."

Ferrari sudah mempunyai perancangan rapi untuk perlumbaan di tempat sendiri dekat Imola pada bulan ini, tetapi Leclerc menjangkakan ia mungkin sekadar peningkatan kecil pada jentera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 10:13 AM