MARQUEZ mendekati Oliveira selepas kedua-duanya terbabit kemalangan, Ahad lalu. FOTO AFP
MARQUEZ mendekati Oliveira selepas kedua-duanya terbabit kemalangan, Ahad lalu. FOTO AFP
Reuters

Paris: Miguel Oliveira menjadi pelumba keempat terlepas perlumbaan MotoGP musim ini apabila pasukannya, RNF Racing berkata dia terpaksa diketepikan daripada Grand Prix (GP) Argentina kerana kecederaan yang dialami dalam perlumbaan pembukaan musim di Portugal selepas terbabit kemalangan dengan Marc Marquez.

Oliveira pada satu ketika berada di tempat kedua dalam aksi pembuka tirai Grand Prix Portugal di tempat kelahirannya, Ahad lalu, namun Marquez yang menunggang jentera Honda merempuh pelumba RNF Racing itu sehingga menyaksikan kedua-duanya terbabas ke tepi litar.

Oliveira pada mulanya diisytiharkan cergas untuk berlumba di pusingan seterusnya selepas pemeriksaan perubatan menunjukkan dia hanya mengalami lebam di kaki kanannya, tetapi pasukannya kemudian berkata dia kini akan terlepas beraksi pusingan kedua di Argentina.

Pol Espargaro dari GasGas Factory Racing Tech3 terlepas aksi hujung minggu lalu apabila terbabit kemalangan ngeri ketika sesi latihan manakala pelumba Ducati, Enea Bastianini dikejarkan ke hospital kerana mengalami patah tulang belikat kanan selepas terbabit kemalangan semasa perlumbaan pecut, Sabtu lalu.

Marquez, yang memohon maaf atas kesilapannya, juga akan terlepas beraksi di pusingan kedua kerana patah tangan dan penalti dikenakan kepadanya akan dibawa ke perlumbaan seterusnya yang disertainya.

"Mengambil kira kecederaan dan tidak menyertai saingan di GP Argentina, penalti dua pusingan panjang akan dikenakan kepadanya pada perlumbaan MotoGP seterusnya di mana dia akan dapat menyertainya," kata MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 9:33 AM