VERSTAPPEN (tengah) meraikan kejayaan di pentas podium. FOTO EPA
VERSTAPPEN (tengah) meraikan kejayaan di pentas podium. FOTO EPA
AFP

Sakhir: Max Verstappen berasa lega selepas mengetuai Red Bull meraih kemenangan satu dua bersama rakan sepasukan, Sergio Perez di Grand Prix Bahrain, awal pagi tadi.

Kemenangan itu juga adalah yang pertama untuknya di Litar Antarabangsa Bahrain pada percubaan ke-10 dan ke-36 dalam kariernya sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pilihan utama muncul juara dunia buat kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Red Bull tidak pernah menang di Bahrain sejak 2013 iaitu ketika Sebastian Vettel memenangi kejuaraan pemandu buat kali keempat.

"Saya sangat gembira akhirnya dapat memenangi perlumbaan di Bahrain. Kami mempunyai pakej yang sangat bagus.

"Kami mampu bersaing dengan kereta sekarang dan terima kasih kepada pasukan kerana sekali lagi memberikan kereta yang laju," kata Verstappen yang berusia 25 tahun.

Di belakang dua jentera Red Bull itu adalah juara dunia dua kali Fernando Alonso yang memanfaatkan sepenuhnya kegagalan pemandu Ferrari, Charles Leclerc untuk menamatkan perlumbaan.

Alonso yang beraksi bersama Aston Martin meraih podium pertamanya sejak Grand Prix Hungary 2014 iaitu ketika pemandu Sepanyol itu bersama Ferrari .

Kejayaan Verstappen menebus nasib malang Red Bull pada musim lalu apabila kedua-dua jentera mereka gagal menamatkan perlumbaan dengan Ferrari merah kemenangan satu dua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 10:26 AM